Monday, March 23, 2015

Guna Taktik Lagakan Pemimpin Bila Isu Kaum, Agama Gagal Lemahkan Sokongan Kepada BN

23 Mac 2015, Kuala Lumpur : Pihak pakatan pembangkang kini dilihat menggunakan taktik untuk melaga-lagakan kepimpinan Barisan Nasional (BN) setelah pendekatan politik perkauman dan agama dilihat tidak mampu untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap BN, demikian kata bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haji Ruslan Kassim.

Menurut beliau, melaga-lagakan kepimpinan BN dilihat sebagai salah satu usaha terakhir pihak pakatan pembangkang apabila isu-isu perkauman dan agama yang selama ini menjadi modal utama mereka tidak memberikan kesan yang mendalam terhadap keutuhan dan kekuatan BN.

“Kita dapat lihat bahawa isu-isu sensitif yang cuba dimainkan oleh kepimpinan pakatan pembangkang gagal untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap BN. Selama ini, isu-isu tersebut merupakan satu senjata utama pembangkang dalam usaha mereka untuk menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan di mata rakyat.

“Namun nampaknya isu perkauman dan agama yang dimainkan oleh pihak pembangkang ini tidak mampu untuk melemahkan BN bahkan sebaliknya telah menimbulkan kesangsian dan ketidakselesaan di kalangan majoriti rakyat di negara ini yang pelbagai kaum,”ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Justeru itu kata beliau, usaha untuk melaga-lagakan kepimpinan BN sesama sendiri dilihat merupakan salah satu taktik terakhir pihak pembangkang dalam usaha mereka untuk melemahkan solidariti kepimpinan BN.

“Hari ini kita dapat lihat solidariti kepimpinan BN yang merupakan gabungan parti dari pelbagai kaum bertambah baik, biarpun berlaku juga krisis kecil di dalam beberapa parti komponen. Namun, krisis itu tidaklah begitu menjejaskan kerana sebahagian besar parti yang bergabung dalam BN masih lagi utuh kerjasama mereka.

“Bahkan kita dapat lihat, selepas PRU ke 13 kita dapat lihat sokongan terhadap pakatan pembangkang juga agak menurun di sebabkan beberapa isu seperti isu MB Selangor, isu Langkah Kajang dan juga isu pertelagahan antara kepimpinan Dap, Pas dan juga PKR.

belia8
“Justeru itu, kepimpinan BN perlulah berhati-hati dengan sebarang isu kerana usaha untuk melaga-lagakan kepimpinan BN ini merupakan salah satu taktik mereka untuk melemahkan BN, sekaligus untuk mengalih perhatian rakyat serta dapat menutup kelemahan pihak pembangkang itu sendiri,” jelasnya.

Demi untuk meneruskan survival politik mereka, menurut Ruslan pihak pembangkang akan cuba melakukan apa saja untuk mewujudkan persepsi negatif di pemikiran rakyat bahawa kepimpinan BN hari ini tidak mampu untuk mentadbir negara dengan baik.

“Usaha pihak pembangkang ini akan berterusan sehinggalah BN berjaya ditumbangkan. Namun, hari ini jelas pihak pembangkang berada di dalam keadaan tersepit apabila isu-isu sensitif seperti isu perkauman dan agama yang cuba mereka mainkan, tidak berjaya menghakis sokongan rakyat terhadap BN, malah sokongan rakyat terhadap mereka pula dilihat semakin terhakis.

“Lantaran itu, pihak pembangkang akan melakukan apa saja termasuk melaga-lagakan kepimpinan BN dalam isu-isu tertentu, namun bagi saya ianya sudah tentu agak sukar memandangkan solidariti dan kerjasama pemimpin-pemimpin parti di dalam BN begitu erat yang telah dipupuk sejak merdeka lagi,” akhiri beliau.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment