Friday, March 27, 2015

Puteri UMNO Kedah Fokus Kepada Usul Keahlian Automatik

27 Mac 2015, Kuala Lumpur :  Usul keahlian automatik menjadi fokus utama yang akan dibawa oleh ahli Puteri UMNO pada persidangan cawangan tahun ini, kata Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Rosliza Hassan.

Menurutnya, ini berdasarkan kepada 98 buah cawangan Puteri yang telah selesai mengadakan mesyuarat tahunannya membawa usul tersebut.

“Saya percaya, isu keahlian automatik akan dibawa oleh baki cawangan yang akan bermesyuarat kelak.

“Bukan sahaja pada mesyuarat tahun ini, tahun-tahun sebelum pun, perkara ini sering dibangkitkan hingga ke peringkat perhimpunan agung dan mengharapkan pucuk pimpinan parti mengambil perhatian akan perkara ini,” katanya lagi kepada UMNO-Online.

Pada tahun ini, sebanyak 765 buah cawangan Puteri di dalam negeri Kedah layak mengadakan persidangan tahunannya.

Pada masa kini, wanita muda Bumiputera yang berumur 18 hingga 35 tahun yang ingin menjadi ahli UMNO diberi pilihan sama ada mahu menjadi ahli Puteri atau Wanita.

Selain itu, usul mengenai had umur juga dijangka akan dibawa oleh ahli Puteri bukan sahaja dari negeri Kedah malah dari seluruh negara, tambah Rosliza yang juga merupakan Ketua Puteri UMNO Kubang Pasu.

“Umur 35 sebenarnya dilihat masih terlalu awal untuk mereka melangkah ke dunia Wanita, masih di dalam proses kematangan politik. Justeru itu, lebih baik diselaraskan seperti Pemuda, ke umur 40 tahun.

“Begitu juga dengan permasalahan korum, walaupun yang diperlukan untuk mengadakan mesyuarat hanya sembilan orang, tetapi ia menjadi sukar kerana setiap tahun akan ada ahli yang telah melebihi umur Puteri, ditambah pula apabila ada ahli berpindah tempat tinggal sama ada sambung belajar, mengikut suami ataupun bekerja,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau juga berharap agar persidangan cawangan ini mampu dijadikan platform bagi menerangkan isu-isu terkini terutamanya yang rapat dengan jiwa orang muda, yang menyentuh isu pendidikan serta ekonomi seperti sistem pentaksiran tingkatan 3 (PT3) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Tetapi yang lebih efektif, orang muda pada masa kini, lebih tertarik kepada penggunaan medium melalui media sosial seperti facebook, youtube dan aplikasi whatsapp atau telegram daripada ceramah secara konvensional,” ujarnya lagi.

Persidangan UMNO cawangan bermula pada 13 Mac lalu hingga 2 Mei ini dengan jumlah cawangan yang layak bersidang ialah 20,776 membabitkan ahli seramai 3,472,035. Bagi pergerakan sayap Wanita yang layak mengadakan persidangan ialah 19,871, Pergerakan Pemuda ialah 15,111 sementara bagi Pergerakan Puteri pula ialah 10,048 orang. 

Dipetik daripada sumber : Media UMNO

No comments:

Post a Comment