Friday, March 27, 2015
‘Profesor’ dan ‘ustaz’ Media Sosial
28 Mac 2015 : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegur
sikap sesetengah kelompok yang cuba menjadi ‘profesor’ berikutan
pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April ini.
Sikap ‘profesor’ tidak bertauliah itu bukan sahaja menyusahkan kerajaan
dalam memberikan penerangan kepada rakyat malah mewujudkan kekeliruan
dalam kalangan mereka.
Ada pula yang bukan sahaja menjadi ‘profesor’ tidak bertauliah malah
penghasut untuk menggerakkan rakyat bangkit menentang pelaksanaan GST.
Kelompok itu bukan sahaja wujud dalam kalangan ahli politik tetapi juga
orang biasa yang kepala mereka sudah ‘berulat dengan otak politik’.
Oleh itu, mereka menjadikan media sosial sebagai tempat melepaskan
geram. Pelbagai tuduhan dan tohmahan mereka cipta untuk menakut-nakutkan
rakyat berhubung GST. Sebenarnya bukan sahaja dalam soal GST, malah
dalam bidang politik pun ramai yang menjadi ‘profesor’ dan ‘penghasut’
rakyat.
Walaupun ada antara mereka tidak terlibat dalam politik namun
disebabkan hati sudah dilumuri dengan perasaan benci maka mereka
menjadikan media sosial sebagai medan untuk memburuk-burukkan
pemimpin-pemimpin kerajaan.
Penulis tidak hairan jika perbuatan itu dilakukan oleh pemimpin atau
ahli parti politik pembangkang kerana memang kerja mereka cuba
mempengaruhi rakyat dengan fakta-fakta tidak betul bagi membangkitkan
perasaan benci kepada kerajaan, tetapi malangnya ada dalam kalangan
‘profesor’ media sosial ini terdiri daripada kelompok yang tiada kaitan
dengan politik.
Melalui pelbagai bahan yang sebarkan melalui aplikasi WhatsApp atau
Facebook mereka menggambarkan seolah-olah kalaulah menjadi pemimpin,
mereka jauh lebih baik daripada pemimpin sedia ada.
Justeru apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan akan tetap dipandang
sinis oleh ‘profesor-profesor’ tidak bertauliah ini. Keadaan menjadi
bertambah buruk apabila wujud pula ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ media sosial.
Golongan ini pula berperanan menyebarkan sesuatu perkara berkaitan
dengan agama tanpa memeriksa dahulu kebenarannya.
Walaupun di dalam Islam, kita dikehendaki memastikan dahulu sesuatu
berita yang diterima itu benar atau tidak, tetapi tidak dipedulikan oleh
golongan ini. Kesudahannya, acap kali kita perhatikan umat Islam
menjadi ‘riuh’ dengan penyebaran sesuatu berita atau fakta yang tidak
betul. Apatah lagi orang kita memang suka perkara-perkara kontroversi
termasuklah soal halal haram. Akibat daripada kelemahan umat Islam dan
wujudnya kelompok ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ itu maka memberikan kesempatan
kepada ‘musuh Islam’ untuk menusukkan ‘jarum beracun’ mereka bagi
memecah belahkan orang Islam.
Tambahan pula ada dalam kalangan orang Islam, mereka hanya bijak
bercakap dan menyebarkan sesuatu perkara kebaikan tetapi mereka sendiri
belum tentu melaksanakannya. Bercakap soal agama seolah-olah merekalah
paling suci, paling hebat dan berpengetahuan tetapi dalam masa sama
mereka juga menjadi ‘profesor’ tidak bertauliah menyebarkan perkara yang
boleh memecahkan belahkan umat Islam.
Namun tidak kira apa pun pandangan kita, kewujudan ‘profesor’ dan
‘ustaz’ media sosial ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh mendatangkan
kesan buruk kepada kuasa politik orang Melayu dan keutuhan perpaduan
sesama Islam.
Janganlah bertindak bodoh termasuklah melepaskan perasaan benci
melalui media sosial. Kita boleh tidak bersetuju atau tidak sependapat
dalam sesuatu perkara atau tindakan, tetapi jangan sesekali menyematkan
perasaan benci kepada mana-mana juga pihak apatah lagi jika individu
atau kelompok itu sebangsa dan seagama dengan kita.
Ketika ini, sudah ada dalam kalangan orang Melayu termasuklah mereka
yang kononnya mendabik dada sebagai pembela orang Melayu dan pejuang
Islam mengamalkan politik kebencian. Golongan ini tidak mendatangkan
keuntungan kepada survival politik orang Melayu dan umat Islam.
Sebaliknya, mereka sendiri ibarat ‘api dalam serkam’ yang akan
menyebabkan orang Melayu berpecah dan perpaduan umat Islam menjadi
rapuh. Oleh itu, jangan bersikap hipokrit dalam tindakan. Jika mahu
melihat orang Melayu dan umat Islam bersatu serta mempunyai kekuatan di
tanah air tercinta ini berhentilah menjadi ‘profesor’ dan ‘ustaz’ media
sosial.
Bersihkanlah hati dan sucilah jiwa. Jadilah orang Melayu yang
benar-benar memperjuangkan kepentingan bangsanya dan seorang muslim yang
sentiasa mempertahankan keutuhan umat Islam. Media sosial ibarat
sebilah pisau terpulang kepada kita bagaimana mahu menggunakannya sama
ada untuk kebaikan atau melakukan kejahatan!
Disediakan oleh : Zul Bakar (Utusan)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment