Friday, March 27, 2015
Hutang Negara Masih Di Zon Selamat – Abdul Wahid
26 Mac 2015 : Kedudukan hutang negara masih berada pada zon
selamat dengan kadar defisit kurang daripada empat peratus, kata Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Katanya Malaysia berjaya mengurangkan kadar defisit secara
berperingkat, dengan kadar 3.5 peratus tahun lepas berbanding 6.9
peratus pada 2009.
“Ini bermakna Malaysia telah memasuki zon selamat dan dari segi
pengurusan kewangan, kita semakin bertambah baik,” katanya ketika
menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong
bagi JPM pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan kedudukan kewangan sesuatu negara dikategorikan
dalam zon selamat jika mereka mempunyai hutang sebanyak 70 peratus,
termasuk mengambil kira liabiliti kontingen, dan kadar defisit kurang
daripada empat peratus.
Kedudukan kewangan sebuah negara akan dianggap kritikal jika
keseluruhan hutangnya melebihi 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) dan kadar defisit melebihi empat peratus, katanya.
Menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Wahid berkata kerajaan
akan memastikan hutang negara kekal di bawah 55 peratus daripada KDNK.
Beliau berkata Malaysia yakin mampu mencapai sasaran status negara
maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 di sebalik keadaan
ekonomi yang mencabar.
“Matlamat ini boleh dicapai melalui pelaksanaan pelbagai projek dan
program di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) dan teras strategi
termasuk pemacu perubahan yang sedang dirangka di bawah Rancangan
Malaysia ke-11 (2016-2020).
“Antara lain, fokus akan diberi kepada inovasi dan produktiviti untuk
meningkatkan daya saing negara dan menentukan pertumbuhan yang mampan,”
katanya.
Katanya selain mengukur status negara maju dari segi pencapaian ekonomi, pembangunan modal insan negara juga dititikberatkan.
Ini termasuk membentuk masyarakat yang mempunyai didikan agama dan
rohani yang tinggi, bersatu padu, bermoral dan beretika, liberal,
bertolak ansur, saintifik, progresif serta penyayang, katanya.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment