Tuesday, March 31, 2015
Proton, Honda, Toyota Turun Harga
31 Mac 2015, Kuala Lumpur : Dua syarikat gergasi kereta Jepun, Honda dan
Toyota mengumumkan penurunan harga kereta seiring dengan pelaksananaan
cukai barang dan perkhidmatan (GST) esok, antara RM500 hingga RM4,000
mengikut model.
Honda Malaysia mengumumkan pengurangan harga antara RM500 sehingga
RM2,500 sebuah bagi model-model pemasangan tempatan (CKD) keluarannya
manakala UMW Toyota pula mengisytiharkan penurunan sehingga RM4,000
mengikut model.
Sementara itu, pengeluar kereta nasional Proton turut mengumumkan
pengurangan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus ke atas model-model
keluarannya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro
Ueno berkata, antara model CKD yang mengalami penurunan harga
termasuklah Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan HR-V.
“Secara keseluruhannya penjimatan daripada pelaksanaan GST akan
diberikan kepada para pelanggan melalui penurunan harga model-model CKD.
“Namun begitu, berdasarkan kepada pengiraan GST import, harga bagi
model Odyssey yang merupakan model import sepenuhnya (CBU) dijangka
mengalami sedikit kenaikan di antara RM500 hingga RM1,000,” katanya pada
majlis meraikan media di sini semalam.
Selain itu Ueno berkata, harga alat ganti juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak 3.7 peratus bagi semua model.
“Bagaimanapun GST akan ditambah ke dalam kos buruh, tetapi
memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos
keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak dua hingga empat peratus
bergantung kepada model,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden UWM Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata,
pihak syarikat akan menyalurkan 100 peratus kos penjimatan GST kepada
pelanggan semasa pembelian mana-mana model Toyota dan Lexus.
“Pembeli kereta di seluruh negara telah membuat spekulasi bagaimana
pelaksanaan GST akan menjejaskan harga jualan kereta dan kami di Toyota
menafikan salah tanggapan ini, dan akan terus menawarkan penjimatan
kepada para pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, di bawah rejim GST, terdapat implikasi berbeza kepada
perniagaan dalam pelbagai bidang daripada pengiraan cukai, pemungutan,
pemulangan, penyatuan kepada penyediaan kos, berbanding kepada sistem
sedia Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
Ismet berkata, sebagai tanda sokongan UMW Toyota Motor terhadap
pelaksanaan GST, syarikat akan telus dalam transaksi perniagaannya dan
akan mematuhi sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2014.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith
Abdullah berkata, harga baru di atas jalan raya tersebut meliputi model
Saga, Persona, Inspira, Satria Neo, Exora, Preve, Suprima S dan Iriz.
“Pelanggan kini bukan sahaja berpeluang membeli kenderaan yang
memberi lebih nilai bagi wang bahkan memiliki sebuah kenderaan yang
telah ditambah baik dari segi kualiti dan ciri-ciri keselamatan.
“Sebagai contoh pengguna kini mampu memiliki Proton Saga dengan
harga serendah RM33,242.40 atau Preve 1.6L Turbo pada harga RM61,023.46
termasuk cukai GST enam peratus,” jelasnya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment