Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.
Sunday, March 29, 2015
Tegas laksana GST
29 Mac 2015 : Setelah hampir 27 tahun, cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) disebut buat pertama kalinya di Malaysia, akhirnya
tanggal 1 April ini, iaitu tiga hari lagi menjadi penentu pelaksanaan
sistem percukaian ini. Kerajaan sudah menyatakan bahawa GST tidak akan
ditangguhkan. Dalam keadaan banyak lagi rakyat Malaysia yang masih
samar-samar atau kurang faham dengan GST, persoalan asas sama ada GST
benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan hanya
ditentukan selepas kerajaan dapat melaksanakan GST dengan jayanya.
Sudah menjadi lumrah di Malaysia, sebarang perubahan yang ingin
dibuat pastinya akan mendapat bantahan. Lebih-lebih lagi kalau bantahan
itu melibatkan orang politik, maka riuh rendah dibuatnya seolah-olah
perubahan yang ingin dibuat tidak langsung memberi manfaat kepada
rakyat. Selepas perubahan itu berjaya dilaksanakan, baharulah dapat
menutup mulut golongan seperti ini yang tidak pernah sunyi dalam
menghangatkan sesuatu isu rakyat.
Maka untuk menutup mulut golongan ini daripada terus menghasut
majoriti rakyat Malaysia, mahu tidak mahu kerajaan perlu membuktikan
bahawa GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Pokoknya di sini
ketegasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan dalam sistem percukaian
Malaysia.
Banyak contoh di negara lain yang membuktikan bahawa GST memberi
manfaat kepada rakyat dan negara. Usah pergi jauh, di negara jiran kita,
Singapura, GST telah memberi impak positif kepada negara berkenaan.
Lebih banyak lebihan wang dan dana boleh digunakan untuk pembangunan
negara. Malah, wang berkenaan boleh meringankan mereka yang kurang
berkemampuan. Bayangkan sebuah negara yang tidak mempunyai sumber
semula jadi yang banyak seperti negara kita pun mampu menjadi sebuah
negara yang cukup maju di dunia, maka, tiada alasan untuk negara kita
mencapai lebih banyak kejayaan.
Cuma bezanya di sana, ketegasan kerajaan dalam melaksanakan sesuatu
perkara. Umum mengetahui, salah satu perkara yang sering disebut-sebut
oleh rakyat Malaysia ialah kelemahan penguatkuasaan yang menyebabkan
banyak kerugian kepada rakyat dan negara. Misalnya, ketirisan melibatkan
penyeludupan minyak di negara jiran adalah berpunca daripada kelemahan
penguatkuasaan.
Akhirnya, untuk mengatasinya kerajaan telah menarik subsidi minyak.
Tidak kurang juga isu warga asing yang terlibat dalam perniagaan, dengan
sewenang-wenangnya mereka membuka kedai. Sampai sekarang pun isu ini
tidak selesai, menggambarkan kelemahan penguatkuasaan.
Maka, dalam hal GST, kerajaan perlu tegas terutamanya terhadap
peniaga-peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk menggagalkan
pelaksanaan GST. Ada antara mereka dengan sengaja menaikkan harga
barangan sebelum GST dilaksanakan lagi. Sedangkan kenaikan harga
barangan yang dijual tidak berkait langsung dengan GST.
Apa yang berlaku, rakyat diadu domba seolah-olah kenaikan tersebut
berpunca daripada GST. Dengan kata lain, GST dikambinghitamkan demi
keuntungan sebelah pihak. Akibat kekurangan maklumat atas beberapa
faktor seperti maklumat tidak sampai kepada mereka atau mereka sendiri
malas untuk mencari maklumat sebenar dengan mempercayai bulat-bulat
media sosial, maka segelintir golongan rakyat ini dengan mudahnya
dihasut untuk membangkitkan kemarahan terhadap GST.
Di Singapura juga tatkala GST ingin dilaksanakan, rakyatnya juga
kekurangan pemahaman tentang GST, namun perkara ini dapat diatasi dari
hari ke hari sehinggalah rakyat mula nampak kebaikan GST. Kerajaan
Singapura telah berusaha bersungguh-sungguh memberi kefahaman tentang
GST kepada rakyatnya.
Mendesak
Mengambil contoh, caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan
restoran dalam lingkungan 5-15 peratus, isu ini hanya berbangkit dalam
kalangan rakyat selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST. Jika
tidak, berapa ramaikah rakyat Malaysia mengetahui bahawa caj
perkhidmatan tersebut bukanlah cukai yang dibayar kepada kerajaan?
Apabila ada yang menganggap itu cukai yang dikutip oleh kerajan, jadi
tidak semena-mena perasaan marah boleh timbul terhadap kerajaan.
Ekoran isu caj perkhidmatan ini timbul, maka terdapat pihak yang
mendesak kerajaan untuk menghapuskan caj perkhidmatan. Malangnya, caj
perkhidmatan ini dikatakan tidak dikawal oleh kerajaan. Adakah caj
perkhidmatan tersebut setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang
diberikan oleh peniaga? Di sini, kerajaan perlu tegas untuk membuat
keputusan demi kepentingan rakyat.
Lihat sahajalah isu kenaikan harga minyak yang digunakan untuk
menaikkan harga barangan dan makanan, walhal apabila harga minyak
diturunkan tidak pula harga barangan dan makanan diturunkan. Inilah yang
sebenarnya dibimbangi oleh rakyat. Contoh ini pun sudah cukup untuk
membuktikan bahawa terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan
untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Mereka ini jugalah yang memberi seribu satu alasan kononnya
pelaksanaan GST menyusahkan mereka dan melibatkan kos pematuhan yang
tinggi. Sejak sekian lama, mereka mengaut keuntungan yang cukup tinggi
sehingga menjadikan mereka kaya raya, jadi apalah salahnya, mereka
menyerap kos ini demi berbakti kepada rakyat. Bagi peniaga yang masih
degil menaikkan harga produk mereka dengan keterlaluan, kerajaan
sewajibnya tegas menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan
2011. Apalah gunanya, di atas kertas, terdapat akta yang bagus, namun
penguatkuasaan tidak ke mana.
Perlu diingat, selain kos pematuhan yang terpaksa ditanggung oleh
mereka, kerajaan juga menanggung kos pentadbiran untuk melaksanakan GST.
Sebab itulah, usah memberi seribu satu alasan hanya untuk kepentingan
diri sendiri. Kalau 160 negara telah melaksanakan GST termasuklah United
Kingdom yang telah berjaya melaksanakan GST, adakah masih tidak cukup
bukti GST itu sistem percukaian yang bagus?
Kos pentadbiran yang ditanggung oleh kerajaan diperlukan untuk
memastikan kelancaran sistem GST bagi merealisasikan kecekapan dan
keberkesanan pelaksanaannya. Melalui kutipan GST yang cekap akan
menentukan bahawa dana yang lebih banyak dan pendapatan kerajaan yang
lebih stabil boleh dikembalikan semula kepada rakyat terutamanya untuk
memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan membantu golongan yang
kurang berkemampuan, berpendapatan rendah dan mereka yang sudah pencen.
Malah, melalui ketegasan kerajaan jugalah, wang kutipan GST dapat
disalurkan kepada rakyat pada tahap kecekapan yang paling optimum.
Dengan ini, bakal memperbetulkan reaksi negatif segelintir rakyat,
memacu ekonomi dan daya saing negara serta memperkukuhkan lagi
kredibiliti kerajaan di mata rakyat.
Dr Rohami Shafie
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment