Saturday, March 14, 2015
Fokus Kepada Kekuatan Ekonomi, Bukannya Pada Kelemahan – Zeti
15 Mac 2015 : Sekiranya gabenor bank pusat yakin terhadap ekonomi negara kita, mengapa tidak kita?
Lagipun, beliau telah menyediakan fakta dan angka lebih daripada
mencukupi yang membuktikan bahawa asas ekonomi kita adalah kukuh.
Oleh itu, tumpuan tidak seharusnya sentiasa kepada ketidakpastian dan kelemahan, tetapi juga kepada kekuatan dan kepastian.
Bagi Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bank
pusat sentiasa peka dan pantas untuk memastikan sistem kewangan
berkeadaan kukuh untuk bertindak balas kepada masalah dan cabaran.
Semasa taklimat bersama para editor baru-baru ini sebelum pengeluaran
Laporan Tahunan 2014 Bank Negara Malaysia, beliau menekankan kepada
perlunya untuk memberi tumpuan kepada kekuatan dan kepastian.
Dengan kata lain, ekonomi berada di landasan pertumbuhan kukuh dengan
kadar pengangguran rendah di bawah tiga peratus, paras rizab tinggi,
sistem perbankan utuh dan kadar tabungan nasional yang tinggi.
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.6 dan 5.5 peratus tahun
ini selepas meningkat enam peratus pada 2014 dan 4.7 peratus pada 2013.
Bagaimanapun, katanya, salah tanggapan terhadap Malaysia telah
diperbesar-besarkan dan semua “gembar-gembur dan ketidakpastian” ini
akan menjejaskan ringgit.
Mata wang tempatan mencecah paras 3.7 seketika pada Selasa sebelum
ditutup pada 3.684 berbanding dolar AS pada Jumaat. Ia berada pada paras
3.65 pada minggu sebelumnya.
Jika, sebagai contohnya, Eropah akan menurunkan kadar, pembalikan
modal akan berlaku dan ringgit tidak boleh menyesuaikan diri dengan
situasi ini, maka, katanya, ekonomi perlu menyesuaikan diri dengan
keadaan itu.
Menjelas lanjut Zeti berkata, “Di Eropah, Greece, Sepanyol
disandarkan kepada euro.
Mereka tidak boleh melaraskan dan menurunkan
nilai euro kerana euro mempunyai ekonomi lebih kukuh seperti Jerman,
jadi mereka terpaksa melaraskan secara dalaman (ekonomi mereka),”
katanya.
Apa yang berlaku kepada mata wang sekarang, termasuk ringgit, adalah disebabkan oleh peristiwa global dan bukan satu yang unik.
“Mata wang kita terus menyusut nilai kerana kita dilihat mempunyai
sektor minyak sebagai satu yang dominan. Berikutan kekukuhan sistem
kewangan kita, kita menerima aliran masuk yang lebih besar jadi kita
boleh juga melihat pembalikan yang lebih besar, justeru, kita memerlukan
rizab yang lebih besar,” katanya.
Bagaimanapun, negara memiliki penampan dalam kadar pertukaran dan rizab.
“Ketika ini, kuantiti operasi harian kadar pertukaran ialah 10 bilion
dolar sehari. Kuantiti urus niaga ini mencerminkan penilaian keadaan
ekonomi sebenar Malaysia. Kita mempunyai rizab yang mencukupi,” katanya.
Sebagai pengeksport bersih minyak, ringgit paling teruk menerima
persepsi, tetapi ramai yang tidak menyedari akan ciri-ciri ekonomi
negara yang sangat pelbagai, struktur eksport dan hasil kerajaan.
Malaysia memiliki struktur ekonomi pelbagai yang mana sektor
perkhidmatan dan pembuatan menyumbang dua pertiga kepada ekonomi dengan
komoditi hanya sebahagian kecil.
Bagaimanapun, beliau mengakui persekitaran luar akan lebih mencabar pada 2015.
Ini kerana pertumbuhan di negara-negara maju, walaupun telah bertambah baik, masih belum mencapai tahap yang dijangkakan.
“Berikutan ini dan juga pertumbuhan perlahan di seluruh dunia,
persekitaran dasar menjadi tidak menentu dengan beberapa negara
mengambil langkah normal dengan meningkatkan dasar mereka, manakala yang
lain mengurangkan kadar mereka dan menjadi lebih akomodatif,” katanya.
Ketidakpastian ini menyumbang kepada keadaan tidak menentu dalam pasaran antarabangsa, yang seterusnya menjejaskan Malaysia.
Bagaimanapun Malaysia pernah mengalami situasi aliran keluar modal yang besar sebelum ini.
Apa yang perlu ditekankan ialah meskipun aliran modal yang tidak
menentu, keadaan dalam pasaran kewangan domestik dan pasaran pertukaran
asing masih kekal teratur.
“Tiada gangguan kepada perantaraan kewangan, dan ini disebabkan
terutamanya sistem perbankan kita yang berdaya tahan dan hakikat bahawa
kita mempunyai pasaran kewangan yang maju,” kata Zeti.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment