Sunday, March 29, 2015
Kenapa Salahkan UMNO?
29 Mac 2015 : Memualkan apabila membaca kenyataan sesetengah
pemimpin Pas khususnya daripada golongan Anwarinas yang mengaitkan
perbalahan politik antara parti itu dan DAP berhubung pelaksanaan hukum
hudud mempunyai kaitan dengan UMNO.
Masalah yang berlaku sekarang ialah penentangan keras DAP yang
disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap usaha Pas untuk
membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan
Akta Mahkamah Syariah 1965 dipinda untuk diselaraskan dengan Enakmen
Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan.
UMNO tidak pernah menghalang hasrat Pas untuk berbuat demikian ia
dibuktikan di peringkat DUN Kelantan. Wakil rakyat UMNO memberi sokongan
sebulat suara kepada enakmen tersebut manakala di peringkat pusat,
kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada Pas untuk
membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.
Puak yang menghalang dan menentang hasrat Pas bukannya UMNO tetapi
kawan baik Pas iaitu DAP. Pemimpin yang menghina Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dengan pelbagai tuduhan adalah pemimpin DAP bukan
pemimpin UMNO. Yang memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi bukan UMNO
tetapi DAP. Yang bersekongkol dengan DAP menghalang usaha Pas
melaksanakan hukum hudud bukan UMNO tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Oleh itu kenapakah ada segelintir pemimpin Pas menuding jari kepada
UMNO apabila Pas bertelagah dengan DAP? Kenapa mahu mendesak pucuk
pimpinan UMNO menyatakan pendirian parti itu terhadap hukum hudud
sedangkan kepemimpinan Pas sendiri kecut perut untuk mendesak DAP supaya
memahami perjuangan Islam Pas?
Kalaupun hendak mengalih isu berikutan perbalahan antara Pas dan DAP,
gunakanlah hujah-hujah yang lebih bernas, jangan membuat kenyataan
sedap mulut sahaja kerana rakyat bukannya boleh diperbodohkan dengan
sewenang-wenangnya.
Mereka tahu parti yang dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’
dalam pakatan pembangkang ialah Pas, mereka memahami parti yang
maruahnya terus diinjak-injak dalam kerjasama tersebut ialah Pas dan
mereka juga mengerti parti yang sanggup menggadaikan prinsip perjuangan
semata-mata mahu menjaga hati PKR dan DAP ialah Pas.
UMNO tidak ada kaitan dengan pakatan pembangkang. UMNO tidak
mempunyai hubungan apabila DAP dan PKR mahu menjalani kerjasama dengan
Pas walaupun mereka tahu antara ketiga-tiga parti mempunyai perbezaan
ideologi perjuangan yang berbeza, oleh itu apa hal pula UMNO disalahkan
apabila mereka berbalah?
Para pemimpin Pas perlu belajar menerima hakikat dan bercakap atas
nama kebenaran untuk mengakui bahawa kerjasama dalam pakatan pembangkang
selama ini hanya retorik dan hipokrasi kelas tertinggi yang ditunjukkan
oleh ketiga-tiga parti terlibat.
Isu hukum hudud yang berlaku menjadi bukti, justeru hentikan
‘kerja-kerja bodoh’ dengan menyalahkan UMNO dalam apa juga masalah yang
menimpa pakatan pembangkang!
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment