Friday, March 27, 2015
Wujudkan Pakatan Baru Di Sabah… Lagi Paparan Siri Pakatan Tunggang Langgang
27 Mac 2015, Kuala Lumpur : Cadangan Dap Sabah yang akan menubuhkan satu
pakatan baharu pembangkang di negeri itu tanpa Pas bukan sahaja ganjil
malah membuktikan lagi betapa tunggang langgangnya ikatan antara Dap,
Pas dan PKR.
Malah apa yang cuba dilakukan Dap Sabah tidak lebih sekadar wayang
politik kerana kehadiran Pas di negeri itu pun selamanya tidak ubah
sekadar melukut di tepi gantang.
Namun hakikatnya bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul
Rashid Shirlin, Dap adalah satu parti yang tidak pernah menghormati Pas
sebagai rakan sekutu.
Ini juga jelas beliau menunjukkan selama mereka berpakat, setelah
penyokong Pas di akar umbi bertungkus-lumus membantu dalam beberapa siri
pilihan raya umum dan kecil, kini mereka mula melupakan Pas dan melihat
Pas tidak lebih seperti kudis yang membawa penyakit.
“Ini sebenarnya isyarat yang cukup jelas kepada parti Pas, khususnya
di Sabah, mereka ini dipergunakan bila perlu sahaja… bila tiba musim
pilihan raya, dipergunakan sebagai ‘pemanis mulut’ memikat pengundi
Islam sahaja.
“Tetapi sekarang, kita sendiri nampak apa yang berlaku, setelah
mereka menang di beberapa kawasan, DAP mula menunjukkan wajah mereka
yang sebenar. Sebelum ini sanggup tidur sebantal walaupun mimpi
lain-lain. Sekarang? Bukan sahaja tidak sebantal tetapi sanggup tendang
malah tikam Pas dari belakang.
“Sudah terang lagi bersuluh, dari dulu lagi Dap akan menggunakan
sesetengah pemimpin Pas yang dilihat agak liberal untuk memenuhi agenda
politik mereka sahaja,” katanya lagi kepada UMNO-Online.
Menurut Ahli Parlimen Papar itu lagi, itulah wajah sebenar pakatan
pembangkang, yang hanya bersekutu demi kepentingan politik peribadi
sendiri, bukan bersatu atas nama kepentingan rakyat.
“Ini terbukti dengan tindakan parti yang sering dilabelkan sebagai
cauvanis itu mula membuat perancangan dalam menguasai politik Malaysia
tanpa Pas.
“Berbeza dengan Barisan Nasional (BN), kita sentiasa mengutamakan
kesepaduan dan kesepakatan di dalam mengurus tadbir gabungan hinggalah
ke urusan mentadbir negeri dan negara demi kesejahteraan rakyat. Segala
permasalahan yang timbul, diperbincangkan dengan sebaiknya.
“Tapi mereka? Ibarat bangkai gajah mana mungkin ditutup dengan
sehelai daun, yang kini semakin retak menunggu masa untuk berderai
sahaja,” ujarnya yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.
Kesan krisis pakatan semakin kemuncak apabila hari ini Dap Sarawak
mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang dan beberapa DAPSY
negeri juga telah menamatkan kerjasama dengan Pas.
Sebelum ini juga, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Harun Din menjangkakan
hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai kerana tindakan Dap
memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi
Awang dengan tuduhan tidak jujur dan tidak bermaruah adalah perbuatan
yang melampau yang tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu.
Dipetik daripada sumber : Media UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment