Monday, June 29, 2015
Apa Tidaknya Tunjuk Power Kan PR Ni....Krisis Air : Khalid Ibrahim Desak Azmin Letak Jawatan
28 Jun 2015, Kuala Lumpur : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendesak 
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berundur daripada jawatan 
tersebut kerana gagal memuktamadkan perjanjian penstrukturan air di 
negeri itu.
Mantan Menteri Besar Selangor itu berkata, sejak Azmin mengetuai 
pentadbiran negeri, beliau melihat penggantinya itu lebih banyak 
mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan, dolak-dalih retorik, dakwaan 
tempang dan tuduhan tidak berasas terhadap pihak-pihak berkepentingan 
yang lain terutama Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin ramai rakyat di Lembah Kelang secara amnya dan Selangor 
khususnya berasa kecewa dengan sikap kerajaan negeri Selangor dan 
Menteri Besar yang jelas tiada kewibawaan mahupun komitmen untuk 
menyelesaikan dengan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan 
air negeri.
“Sekiranya Menteri Besar sendiri sedar akan had keupayaan peribadi dan 
mana-mana kekangan lain untuk memuktamadkan segera penyusunan semula 
industri air Selangor pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 
billion, maka saya ulang gesaan yang pernah saya utarakan di dalam DUN 
Selangor sebelum ini.
“Keikhlasan mendahulukan rakyat akan terpancar jika beliau berundur 
sekarang supaya Dewan Negeri Selangor dapat mencari seorang pengganti 
yang benar-benar layak, berkemampuan dan berkebolehan untuk melaksanakan
 tanggungjawab berat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khalid, Azmin bukan sahaja melengah-lengahkan proses 
pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air, malah gagal 
menggariskan satu pelan tindakan terperinci, lengkap dengan 
langkah-langkah konkrit untuk menyelesaikan semua isu berkaitan 
perkhidmatan air.
“Akibatnya, saya difahamkan bahawa para pegawai yang selama ini 
bertungkus-lumus dalam usaha menyempurnakan penyusunan semula industri 
air Selangor kini seolah-olah hilang punca tanpa hala tuju dan garis 
panduan yang jelas daripada Menteri Besar.
“Sama ada beliau memang tiada kompetensi atau sebenarnya ada udang di sebalik batu,” katanya sinis.
Jelas Khalid lagi, tindakan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) yang 
baru-baru ini mengeluarkan kenyataan tidak menolak untuk membatalkan 
perjanjian jual beli dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air 
Selangor) perlu dipandang serius.
Sekiranya berlaku kata Khalid, kerajaan negeri terpaksa berdepan dengan 
tindakan undang-undang daripada PNHB untuk mendapatkan semula hutang 
tertunggak kerajaan negeri yang dianggarkan mencecah RM4.97 billion pada
 31 Mac 2015.
“Tidak mustahil ancaman PNHB ini bertukar menjadi realiti memandangkan 
“imuniti” yang dinikmati oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd 
(SPLASH), satu lagi syarikat konsesi air untuk terus berdegil menolak 
tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan kegagalan berlarutan 
Kerajaan Negeri memuktamadkan Perjanjian Utama yang dimeterai pada 12 
September 2014 dengan Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad 
(PAAB) dan Air Selangor.
“Walaupun DYMM Sultan Selangor sendiri telah berulang kali mengingatkan 
jemaah pentadbiran negeri untuk memastikan penyusunan semula industri 
air dimuktamadkan secepat mungkin tanpa bercanggah dengan semangat dan 
terma Perjanjian Utama, namun titah Tuanku Sultan seolah-olah tidak 
diendahkan sama sekali,” ujarnya. 
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment