Monday, June 29, 2015
Pemilihan Parti Ditangguh 18 Bulan Untuk Tumpu Kepada Kepentingan Rakyat – Najib
26 Jun 2015, Kuala Lumpur : Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memgambil 
keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan 
berlangsung pada tahun hadapan selama 18 bulan berdasarkan Fasal 10.16 
Perlembagaan UMNO yang memberikan hak kepada MT untuk menangguhkannya, 
demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, MT berpendapat bahawa kepentingan rakyat perlu 
didahulukan di mana penangguhan ini akan dapat membuatkan ahli dan 
kepimpinan parti lebih fokus untuk menyelesaikan permasalahan rakyat 
baik di peringkat dasar mahupun diperingkat akar umbi.
“Kita mengumumkan penangguhan ini adalah kerana kita tidak mahu ada 
pihak nanti yang sudah merancang strategi politik untuk menghadapi 
pemilihan dan boleh mengeruhkan suasana politik dalaman itu sendiri.
“Penangguhan ini juga dapat memberikan ruang dan peluang bagi 
pengukuhan parti dan kerja yang patut kita lakukan supaya UMNO dan 
rakan-rakan komponen kita lebih mantap untuk menghadapi pilihan raya 
akan datang.”
Jelasnya, tumpuan perlu diberikan kepada tugas dan kerja-kerja parti 
yang telah diarahkan sebagaimana  panduannya telah diberi kepada semua 
setiausaha-setiausaha bahagian.
“Mereka tahu KPI yang sepatutnya kita capai dan sebagainya. Jadi 
perkara inilah yang perlu kita utamakan,” katanya kepada pemberita 
selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini 
hari ini.
Menurut  beliau, penangguhan pemilihan ini bukanlah satu perkara yang
 luar biasa kerana di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah 
Ahmad Badawi juga telah pun dilakukan penangguhan berasaskan kepada 
rasional keadaan semasa.
“Ini bukan bererti UMNO menafikan hak demokrasi dan keterbukaan 
kepada semua ahlinya, tetapi bila sampai pada masanya, kita akan 
melaksanakan pemilihan untuk memberikan ruang kepada ahli melakukan 
pemilihan di semua peringkat,” ujarnya.
Disamping itu, MT UMNO juga membuat keputusan untuk melihat kaedah 
pemilihan dengan lebih mendalam supaya kaedah yang digunakan pakai hari 
ini boleh ditambah baik dengan mengambil maklum pandangan dan pendapat 
ahli akar umbi di semua peringkat.
“Kita juga bersetuju untuk mengkaji dan melihat semula kaedah yang 
diguna pakai dalam pemilihan dengan mendalam agar kita mencari kaedah 
yang lebih baik atau menambah baik kaedah yang sedia ada.
“Insya-Allah kita punyai masa yang panjang untuk meneliti 
kaedah-kaedah pemilihan yang digunakan di dalam perlembagaan baru 
menerusi tatacara pemilihan ini supaya ia akan dapat dijalankan dengan 
lebih baik pada masa yang akan datang,” jelasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment