Tuesday, June 30, 2015
Mengapa UMNO-PAS Perlu Bekerjasama?
British menjajah Semenanjung Tanah Melayu daripada orang Melayu.
Orang Cina dan India datang dengan ramainya, mula-mula untuk mencari 
kekayaan dan pulang ke negera asal, tetapi akhirnya terus tinggal di 
Tanah Melayu. Orang Melayu bersatu menentang Malayan Union, ancaman 
pengganas komunis dan menuntut “kemerdekaan tanah air”.
Orang bukan Melayu menyertai pergerakan menuntut kemerdekaan apabila 
mereka nampak kemerdekaan akan menjadi kenyataan untuk menjaga 
kepentingan mereka selepas Merdeka.
Pas ditubuh apabila Haji Ahmad Fuad Hassan kalah dalam pertandingan 
merebut jawatan Presiden UMNO kepada Tunku Abdul Rahman Putra, mulanya 
sebagai satu cabang UMNO tetapi kemudiannya bertanding dalam PRU-1955.
Semasa Perlembagaan Persekutuan sedang digubal, Pas menuntut supaya 
Pulau Pinang dan Melaka dijadikan “Negeri Melayu” (bersultan) untuk 
menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Parti 
Komunis Malaya (majoriti orang Cina) mengangkat senjata untuk menubuh 
sebuah kerajaan Komunis ala-China.
Parti Buruh (majoriti orang Cina) menuntut supaya “Negeri-Negeri Melayu”
 dihapuskan untuk mengelak “Malaya” yang merdeka menjadi sebuah “Negara 
Feudal”.
Orang Cina mahukan dua warganegara (dual-citizenship), Malaya dan China 
dengan warganegara China sebagai warganegara utama. Ada satu kumpulan 
orang Cina di Pulau Pinang yang tidak mahu Pulau Pinang merdeka dalam 
Tanah Melayu. Mereka mahu kekal di bawah jajahan British seperti Hong 
Kong.
Oleh sebab British menjajah Tanah Melayu daripada orang Melayu, logiknya
 ia dipulangkan kepada orang Melayu (seperti Brunei). Tetapi, orang 
Melayu sanggup berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu. Hasil tolak 
ansur persetujuan dicapai. Kandungannya tersurat dalam Perlembagaan 
Persekutuan. Antara lain, kerakyatan diberi kepada orang bukan Melayu.
Beberapa perkara yang dituntut oleh orang Melayu seperti, kedudukan 
agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa 
Kebangsaan, jaminan mengenai “hak keistimewaan orang Melayu” (Perkara 
153), Regimen Askar Melayu dan Tanah Simpanan Melayu juga dipersetujui 
dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam PRU 1955, kawasan majoriti pengundi Melayu diberi kepada calon 
bukan Melayu daripada parti komponen Perikatan untuk bertanding bagi 
melebihkan bilangan ahli Parlimen bukan Melayu. Amalan ini berterusan 
untuk memastikan mereka mencapai kemenangan, sebab jika mereka 
bertanding dalam kawasan majoriti bukan Melayu (Cina), mereka akan 
kalah.
Sebaliknya, Perikatan atau Barisan Nasional tidak pernah meletak calon 
Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu, sebab pengundi bukan Melayu 
tidak akan mengundi calon Melayu. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu 
merdeka.
Pada malam itu warganegara bertambah sekali ganda, akibat orang bukan 
Melayu menjadi warganegara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
 Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah 
sebanyak 84.2 peratus, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun 
selepas merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1 peratus.
Pas menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi Singapura, kerana khuatir 
akan menjejas hak orang Melayu dan kududukan agama Islam. Selama lebih 
kurang tiga dekad selepas penubuhannya, Pas telah memainkan peranan yang
 berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Pas tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat 
Persekutuan. Pengaruhnya tertumpu di Pantai Timur. Tidak ada perbezaan 
kepada orang Melayu dan agama Islam sama ada UMNO atau Pas memerintah 
Kelantan. Lagi pula, adanya Pas menyebabkan UMNO lebih berhati-hati 
berkenaan isu Melayu dan Islam.
Selama lebih kurang lima dekad semenjak merdeka, kecuali dalam 1969, 
tidak ada cabaran serius terhadap hak orang Melayu dan kedudukan agama 
Islam. Sebabnya, sebilangan besar orang Melayu menyokong UMNO, kerajaan 
Persekutuan teguh di bawah Barisan Nasional dan UMNO dapat mengawal 
parti-parti sekutunya daripada membuat tuntutan-tuntutan yang melampau.
Negara aman dan makmur. Semua orang menikmati taraf kehidupan (standard 
of living) yang lebih tinggi.Keadaan berubah dalam masa lebih kurang 
sepuluh tahun kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah tiga.
Melihat keadaan itu, orang Cina yang memang pandai membuat perkiraan dan
 pakatan, bersatu di belakang DAP. PKR dan Pas setuju bekerjsama dengan 
DAP. Akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilhan
 raya.
Merasai mereka telah kuat, orang bukan Melayu, terutama sekali orang 
Cina, mula membuat tuntutan-tuntutan yang melampau dan mencabar hal-hal 
mengenai agama Islam, termasuklah khutbah Jumaat.
Mereka tidak puas hati dengan “keistimewaan” yang dinikmati oleh orang 
Melayu. Mereka mahu semuanya dibahagikan secara “sama rata”. Mereka tahu
 jika dibuat demikian, merekalah yang akan membolot segala-galanya 
kerana mereka mengawal ekonomi, kaya dan lebih maju dalam semua bidang. 
Sebenarnya mereka mahu hak orang Melayu tanpa mengorbankan hak mereka.
Jika Pakatan Rakyat (termasuk Pas) dapat menubuh kerajaan di peringkat 
Persekutuan, DAP yang akan menjadi parti dominan. PKR tanpa Datuk Seri 
Anwar Ibrahim tidak akan dipandang serius oleh DAP.
Pas lagilah tidak akan “didengar” oleh DAP. Kerajaan Pakatan Rakyat 
semestinya akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama 
Islam. Orang Cina bersatu di belakang DAP kerana DAP menjanjikan sesuatu
 yang lebih dan kerana mereka mahu lebih daripada yang mereka peroleh di
 bawah pemerintahan Barisan Nasional. Dari mana bahagian “yang lebih” 
itu akan datang? Semestinya daripada bahagian orang Melayu.
Mungkin mereka tidak akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen 
dan persetujuan Majlis Raja-Raja (di mana diperlukan) untuk meminda 
Perlembagaan. Sambil itu kita mesti waspada tentang kemungkinan mereka 
akan melakukan perubahan kepada kawasan Parlimen dengan menambah 
bilangan kerusi di kawasan Cina yang padat penduduknya.
Namun demikian, perlu diingat bahawa hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam boleh dihakiskan secara pentadbiran sahaja.
Sebagai misalan, peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama
 Persekutuan hanya memberi manfaat jika dan apabila kerajaan yang 
memerintah melakukan sesuatu untuk meletakkan agama Islam di tempat yang
 sesuai dengan kedudukan itu.
Apa yang kita lihat hari ini, baik universiti-universiti, 
institusi-institusi dan jabatan-jabatan Islam; institusi-institusi 
kewangan Islam dan pembangunan perbankan dan kewangan Islam; pengajaran 
mata pelajaran agama Islam dari tadika hingga ke universiti, 
masjid-masjid, rancangan-rancangan agama di televisyen dan radio dan 
serta lain-lain adalah hasil daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan 
yang memerintah selama ini. Jika tidak dilakukan, tidak akan ada 
apa-apa, hanya peruntukan dalam Perlembagaan.
Manfaat
Demikian juga dengan peruntukan mengenai hak-hak orang Melayu. Jika 
kerajaan yang memerintah tidak berbuat apa-apa, tidak ada apa yang akan 
dinikmati oleh orang Melayu.
Kita menikmati faedahnya hari ini kerana kerajaan telah mengadakan 
berbagai-bagai rancangan seperti Dasar Ekonomi Baru dan menubuhkan 
pelbagai badan seperti Permodalan Nasional Berhad, Skim Amanah Saham 
Nasional, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Mara, Felda, 
RISDA, Felcra, UDA, Pernas, DARA, Jengka, Ketengah, Kesedar dan 
lain-lain.
Kerajaan juga telah menetap dan melaksanakan dasar mengenai pemberian 
biasiswa, pengambilan pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain. Tanpa ini 
semua, peruntukan-peruntukan itu tidak bermakna.
Semenjak merdeka, melalui dasar dan tindakan kerajaan Perikatan dan, 
kemudiannya Barisan Nasional, orang Melayu/Islam telah menikmati faedah 
peruntukan-peruntukan itu. Saya tidak fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan
 atau akan dapat melakukan perkara yang sama.
Ertinya, hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan terhakis jika 
kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, tumbang.
Demi mengelak perkara itu berlaku, kerajaan Barisan Nasional di 
peringkat Persekutuan mestilah dipertahankan. Pada pendapat saya cara 
yang paling mudah ialah: Jika selepas PRU-14, didapati kerajaan Barisan 
Nasional di peringkat Persekutuan akan tumbang, Pas hendaklah menyertai 
kerajaan Barisan Nasional, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan 
untuk menyelamatkannya.
Pas mesti sedar bahawa kerjasama dengan DAP dan PKR akan mengorbankan 
kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Pas perlu sedar bahawa, dalam 
konteks Malaysia, apa yang menguntungkan orang Melayu akan menguntungkan
 umat Islam dan apa yang merugikan orang Melayu akan merugikan umat 
Islam. Demikian juga, apa yang menguntungkan umat Islam akan 
menguntungkan orang Melayu dan apa yang merugikan umat Islam akan 
merugikan orang Melayu,
Sebenarnya, pada masa ini, antara UMNO dan Pas sudah tidak ada apa-apa 
perbezaan ideologi lagi untuk menghalang kerjasama itu. Yang menjadi 
penghalang hanyalah kekhuatiran pemimpin-pemimpin dan 
penyokong-penyokong masing-masing jika kerjasama itu akan menggugat 
kepentingan diri mereka.
Selain daripada itu adalah isu-isu yang dipolitikkan kerana mudah, murah
 dan popular untuk membezakan UMNO dengan Pas dan memancing undi, 
misalnya assabiah dan hudud.
Pas telah memerintah Kelantan selama lebih kurang 40 tahun. Apa bezanya 
Kelantan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? 
Undang-undang yang dipakai di Mahkkamah Syariah di Kelantan seperti 
Enakmen Acara Mal, Enakmen Acara Sivil dan Enakmen Undang-Undang 
Keluarga Islam dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional dan saya 
menjadi Penasihat Undang-Undangnya.
Memang ia telah diganti tetapi, dari segi isi kandungannya, itu hanya 
pengemaskinian yang dilakukan untuk menyelaraskan dengan undang-undang 
yang dipakai di negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan 
Nasional.
Jika Kelantan “lebih Islam” daripada negeri-negeri lain dan orang 
Kelantan mahu berada dalam sebuah “negara Islam”, mengapa orang Kelantan
 yang paling banyak berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mencari makan?
UMNO juga perlu menangani masalah persepsi rasuah yang tinggi dalam 
kalangan pemimpinnya, faktor utama mengapa orang Melayu “bencikan” UMNO,
 sama ada persepsi itu betul atau tidak.
Maka, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas yang sama-sama Melayu dan Islam, 
yang sama-sama untung dan rugi, perlulah menumpukan perhatian kepada 
ancaman besar yang berada di hadapan mereka, orang Melayu dan umat Islam
 di Malaysia. Mereka patutlah mengetepikan dahulu perbezaan yang 
diada-adakan untuk tujuan politik dan menumpukan usaha untuk 
menyelamatkan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.
Dengan cara yang saya cadangkan ini, UMNO dan Pas masing-masing boleh 
kekal seperti sekarang sebagai parti politik yang berasingan. (Saya 
tidak nampak kemungkinan Pas menyertai Barisan Nasional dalam masa yang 
terdekat.) Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, Pas patut keluar 
dari Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat merugikan orang Melayu dan umat Islam. Di peringkat 
negeri, Pas boleh bertanding bersendirian. Pas boleh memerintah 
negeri-negeri yang dimenanginya secara bersendirian.
Tetapi, untuk mengelak sesebuah negeri terjatuh kepada DAP dan PKR, 
misalnya Perak, Pas patut bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk 
menubuh kerajaan campuran. Di peringkat Persekutuan, Pas boleh memilih 
untuk menyertai Kabinet dan duduk bersama wakil-wakil rakyat Barisan 
Nasional di Parlimen.
Atau, mereka tidak menyertai Kabinet dan duduk berasingan di Parlimen 
seperti ahli-ahli “bebas” tetapi, dalam isu yang melibatkan kepentingan 
orang Melayu dan umat Islam, mereka akan menyokong kerajaan Barisan 
Nasiona.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment