 
 Monday, June 29, 2015
Saya Yang Minta Pemilihan Ditangguhkan – Mat Hasan
29 Jun 2015, Seremban : Usul penangguhan pemilihan UMNO
 bukan datang daripada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi
 di peringkat akar umbi.
 
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, beliau adalah 
individu yang membawa usul itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO 
minggu lalu dan telah dipersetujui secara bersama oleh semua ahli majlis
 yang hadir untuk penangguhan itu.
“Bukan Datuk Seri Najib yang usulkan. Presiden tidak masuk campur 
dalam usul berkenaan.
Saya yang bawa usul itu dan nyatakan bahawa kita 
tidak perlu adakan pemilihan UMNO tahun hadapan. Usul itu kemudian 
disokong oleh semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO setelah mendengar suara 
akar umbi serta mesyuarat kepimpinan peringkat Bahagian di Janda Baik 
bulan lalu.
“Pandangan akar umbi itu dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO
 minggu lepas. Saya mahu nafikan tohmahan yang mengatakan bahawa 
penangguhan pemilihan UMNO tahun hadapan adalah taktik atau cara 
Presiden untuk raih sokongan. 
Itu tidak betul dan salah,” katanya di Wisma UMNO, di sini hari ini.
Mohamad bercakap kepadap pemberita selepas melancarkan program agihan
 kurma, air zam-zam dan kain baju Melayu sempena Ramadan al Mubarak yang
 turut di hadiri Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez 
Abdul Rahim.
Mohamad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan, jangan 
sekali-kali menidakkan sindrom apabila ada pemilihan akan adalah 
perpecahan, malah akan wujud pasukan ‘A’, ‘B’ mahupun ‘C’ sehingga 
menyebabkan perpecahan terus berlaku dalam parti.
“Kalau tidak dapat jawatan pula, pasti ada yang merajuk dan berdendam
 dengan parti. 
Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Maka Ahli Majlis 
Tertinggi UMNO berpendapat penangguhan itu perlu untuk parti memberikan 
tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan UMNO serta Barisan 
Nasional (BN) menang dalam pilihan raya itu.
“Apabila sudah menang (PRU-14) esok, buatlah pemilihan parti. Waktu 
itu siapa mahu bertanding, terpulang dan siapa yang mahu pegang jawatan,
 peganglah,” tegas Mohamad.
Satu perkara lagi, kata Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan
 UMNO negeri, jika pemilihan berlaku tahun hadapan, tumpuan ahli parti 
pada PRU-14 akan longgar apabila masing-masing sibuk mahu berkempen 
untuk bertanding jawatan.
Ditanya tohmahan itu datang daripada siapa, Mohamad menegaskan, 
tohmahan terhadap parti dan kepimpinan boleh datang dari pelbagai sudut 
termasuklah pasukan tertentu, orang luar parti dan dari dalam parti 
sendiri.
“Saya tidak menuduh sesiapa tetapi kadangkala ada pasukan tertentu 
yang mempunyai agenda untuk jatuhkan UMNO, kemudian melarat sehingga 
menyerang pemimpin parti. 
Saya amat kesal kerana ada tohmahan tidak 
berasas seperti penundaan pemilihan UMNO ini.
“Pihak yang melakukan tohmahan itu mengambil kesempatan daripada 
persepsi negatif yang diada-adakan, digembar-gemburkan oleh pihak 
berkepentingan. Ketika ini, semua yang dilemparkan kepada kerajaan 
mahupun pemimpin dan parti UMNO, mudah dipercayai kerana orang lebih 
percaya tohmahan daripada fakta sebenar,” tegas beliau.
Justeru kata beliau, penting bagi kerajaan dan UMNO untuk menjelaskan
 fakta betul agar rakyat dan ahli parti faham apa sebenarnya yang 
berlaku.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Najib berkata, keputusan penangguhan 
itu dibuat Majlis Tertinggi UMNO mengikut fasal 10.16 perlembagaan parti
 selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk soal kepentingan bagi 
memperkukuhkan perpaduan parti terlebih dahulu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment