Monday, June 29, 2015
Ismail Sabri Desak Tindakan Tegas Pihak Fitnah 1MDB
28 Jun 2015, Bera : Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
berkata, tindakan tegas undang-undang perlu diambil terhadap individu
yang melemparkan fitnah terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang
melakukan perkara itu dengan merujuk kepada blog Sarawak Report yang
memperoleh maklumat itu daripada bekas eksekutif PetroSaudi
International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo.
"Individu didedahkan oleh Justo yang mungkin terbabit dalam penyaluran
maklumat tidak tepat mengenai transaksi perniagaan di antara 1MDB dan
PetroSaudi juga perlu dikenakan tindakan.
"Sesiapa juga menggunakan laporan Sarawak Report untuk menyerang
kerajaan dan Perdana Menteri wajar dikenakan tindakan kerana tiada
sesiapa boleh dikecualikan atau lebih tinggi daripada undang-undang.
"Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pihak terbabit demi menjaga
kepentingan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis
tadarus al-Quran peringkat negeri Pahang di Masjid Daerah Bera di sini,
semalam.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani diminta
mengulas penahanan Justo di Thailand oleh pihak berkuasa negara itu pada
23 Jun lalu dan mendakwanya atas tuduhan memeras ugut PetroSaudi,
seperti mana dilaporkan media Thailand dan disahkan syarikat itu.
PetroSaudi, syarikat antarabangsa industri minyak dan gas yang
berpangkalan di Arab Saudi itu, terkenal di Malaysia berikutan kerjasama
yang pernah dijalin dengan 1MDB.
Bagaimanapun, sebahagian kandungan maklumat e-mel dan dokumen berkenaan
difahamkan ditokok tambah pihak tertentu untuk kepentingan peribadi
serta digunakan berulang kali di seluruh dunia.
Ismail Sabri berkata, penahanan Justo itu harus membuka mata dan memberi
kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mempercayai agenda jahat
segelintir pihak yang cuba menimbulkan kebencian rakyat.
Rakyat seharusnya mempercayai penjelasan kerajaan dan menteri Kabinet
berkenaan berhubung isu berkenaan dan bukan daripada sumber yang tidak
sahih, katanya.
Oleh itu beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Bera mengingatkan rakyat
untuk tidak mempercayai sebarang maklumat daripada media sosial atau
blogger sebaliknya perlu merujukkannya kepada pihak berkuasa untuk
pengesahan.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment