Monday, June 29, 2015
GLC Digesa Henti Beli Ruangan Iklan The Edge Siar Laporan Fitnah MARA
26 Jun 2015, Kuala Lumpur : Kebebasan media ada hadnya tetapi kalau 
penyiaran beritanya sehingga sampai peringkat fitnah atau boleh mencemar
 nama baik negara seharusnya dicegah. Ini termasuk menarik permit 
mana-mana akhbar yang jelas tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan
 imej pentadbiran negara di mata negara luar.
Berang dengan laporan tidak tepat The Edge berkenaan pembelian 
hartanah di Australia oleh MARA, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri 
Syed Ali Alhabshee menggesa syarikat GLC menghentikan pembelian ruangan 
iklan dalam akhbar berkenaan ternyata tidak beretika dan boleh 
memesongkan fikiran orang ramai terhadap laporannya.
Kata Syed Ali, kalaupun The Edge mahu menarik rating pembacanya 
tetapi bukan dengan cara memutarbelitkan fakta pembelian hartanah di 
Australia oleh MARA. Manakala sebarang laporan berkenaan pembelian 
hartanah ini kena mendapatkan sumber yang benar-benar sah dan bukannya 
mengikut khabar angin.
“Bagi saya tahap kesabaran ada hadnya tetapi kalau ianya sampai 
peringkat boleh mencemar nama baik negara maka tindakan tegas perlu 
diambil kepada akhbar ini (The Edge). Saya menyeru syarikat –syarikat 
GLC terutamanya agar jangan membeli ruangan iklan dalam akhbar berkenaan
 ternyata tidak bertanggungjawab dalam penyiaran beritanya.
“Tindakan akhbar berkenaan menyiarkan laporan tidak tepat berkenaan 
pembelian hartanah di Australia boleh menjejaskan nama baik dan ekonomi 
negara. Sedikit sebanyak boleh menjejaskan kepercayaan dan keyakinan 
pelabur terhadap negara ini. Sebagai pengamal media mereka jangan hanya 
memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya kena mengkaji impak 
penyiaran berita berkenaan kepada kepentingan ekonomi dan masa depan 
negara.
“Saya sendiri tidak boleh berkompromi lagi dengan akhbar The Edge 
termasuk beberapa website The Sarawak Report dan blog The Malaysian 
Insider dan Malaysiakini yang jelas mengenepikan etika kewartawanan 
dalam penyiaran berita atau laporannya. Pada pandangan saya kerajaan 
sudah memberikan cukup ruang kepada akhbar dan blog ini beroperasi 
tetapi jangan sampai peringkat mencabar kewibawaan negara,” katanya 
dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Menurutnya lagi, mana-mana akhbar di negara ini perlu menghormati 
kebebasan media di negara ini. Mereka harus lebih bertanggungjawab 
dengan penyiaran berita atau laporan jangan sampai boleh memudaratkan 
kepentingan negara.
Penyiaran laporan berkenaan pembelian hartanah di Australia oleh MARA
 sewajarnya perlu mendapat sumber atau maklumat yang tepat dari pihak 
berkenaan. Apabila kita mendapat sumber berita dari bukan pihak 
berkenaan sudah tentu kita akan terdedah dengan sebarang kemungkinan 
pihak cuba mengambil kesempatan atau menjahanamkan nama baik negara.
“Kita kena ingat negara luar amat mencemburui kestabilan ekonomi dan 
perpaduan rakyat negara ini. Negara lain turut berasa hairan bagaimana 
Malaysia masih boleh mengekalkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di 
negara ini sedangkan negara lain mempunyai satu bangsa dan agama pun 
boleh berpecah belah dan berantakan. Pihak irihati ini akan melakukan 
pelbagai usaha memecahbelahkan kita dengan cara halus atau dalaman.
“Jika dengan cara lain termasuk melaga-lagakan pimpinan kita tidak 
berkesan mereka akan gunakan cara lain mensabotaj ekonomi kita. Ini 
termasuklah memperalat akhbar dan blog tertentu untuk faedah dan 
kepentingan dalang cuba menggugat kestabilan negara,” katanya.
Justeru Syed Ali mahukan GLC turut berperanan dalam menaikkan imej 
dan nama baik kerajaan di mata rakyat. Syarikat GLC kena menjaga 
reputasi kerajaan dengan menjalinkan kerjasama dengan akhbar atau blog 
yang lebih beretika dalam penyiaran artikel mereka. Sebaliknya jika 
akhbar berkenaan terrnyata boleh memesongkan fikiran rakyat dengan 
berita palsu jangan dibiayai dengan pembelian ruangan iklan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment