Monday, June 29, 2015

Kenapa "Syaitan Dalam Jemaah PAS" Perlu Tunggu Lepas Aidilfitri?


Sejak tersingkir dalam proses demokrasi pemilihan pucuk pimpinan PAS baru-baru ini, golongan yang sebelum ini digelar sebagai "syaitan dalam jemaah" semakin terserlah "tanduk" mereka mencabar kewibawaan golongan ulama yang menerajui PAS.

Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka menekan, menyindir, membidas dan menempelak kepimpinan parti itu, termasuk berura-ura mahu mencari "wadah perjuangan baru" yang kononnya lebih "suci murni".

Hendak dikatakan hati perut mereka dihasut "syaitan", dikatakan habis syaitan telah diranti di bulan Ramadhan ini. Tapi nampaknya "syaitan dalam jemaah" PAS terus ligat memasang strategi untuk meneruskan karier mereka mengejar kuasa politik di Malaysia.

Kalau dulu, mereka hanya berani menghentam golongan ulama PAS di dalam majlis-majlis tertutup sesama mereka. Kalau di depan orang pun, mereka hanya "bisik-bisik" sahaja, itupun hanya berani di "pintu belakang" jemaah.

Tapi kali ini lain pula jadinya. Sejak sebelum pemilihan, mereka seolah mendapat "tonik" sebagai suntikan untuk menghentam barisan kepimpinan PAS yang baru. Maklumlah, mungkin "tonik" tersebut dibekalkan dari luar, di"import" khas dari "parti sebelah"?

Mereka kini tiada jawatan di dalam parti. Kalau ada pun, hanyalah jawatan lantikan sahaja, "ehsan" dari golongan ulama di atas jasa baik mereka yang sebelum ini sanggup berjuang dengan menyembunyikan "tanduk" dan "ekor" masing-masing...

Mahu mencari "wadah baru"? Wadah sebelum ini sudah tidak bagus? Lapok dek zaman? Kurang "masyuk" dan tidak menjanjikan jawatan serta kuasa? Tidak relevan lagi untuk diteruskan? "Wadah baru" itu hanya akan timbul selepas Aidilfitri katanya...

Saya "takut" sangat dengan "wadah baru" itu. Malah dengan penubuhan "wadah baru" itu, mungkin akan menyebabkan Barisan Nasional "tewas" dek "kehebatan" dan "sokongan" tidak berbelah bagi dari "rakyat" yang kononnya akan bersama mereka. Benarkah?

Pada pandangan saya, PAS tidak akan tunduk dengan "permainan" golongan "syaitan dalam jemaah" itu. Mahu cari "wadah baru" seperti Pak Samad Said? Silakan! Mengapa perlu tunggu selepas Aidilfitri? Tubuhkan saja esok jika yakin sangat dengan "wadah baru" itu, kan?

Atau mahu tubuhkan parti politik baru dan bergabung dengan DAP dan PKR? Tubuhkanlah sekarang. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang setiap hari menghentam kepimpinan parti sendiri, kenapa tidak di"genggam arang hingga menjadi abu"? Takut?

Sebagai golongan yang kononnya "vokal" dan "benar", saya rasa puak-puak berkenaan perlu buktikan kejantanan mereka. Jangan bergebang saja di media-media pro-Pakatan Rakyat dan merosakkan parti sendiri, kan?

Ada yang kata golongan ulama memalukan Islam semalam. Benarkah? Baru hari ini nak sedar tentang itu? Bagaimana pula dengan diri sendiri? Pada penulis, "syaitan dalam jemaah" itu bukan saja memalukan Islam, malah memalukan diri sendiri, PAS dan seluruh jemaah di dalam parti berkenaan.

Hendak tunggu PAS pecat? Maaflah, penulis rasa PAS tidak akan pecat ahlinya. Politik di dalam PAS tidak bersifat begitu. Lainlah kalau sudah isi borang dan sertai parti lain, maka secara automatik akan terkeluar dari parti tersebut, bukan?

Khabarnya golongan "syaitan dalam jemaah" ini rapat dengan DAP dan PKR. Benarkah? Jika benar, sertailah DAP atau PKR. Mudah, bukan? Malah saya yakin, jika golongan itu masuk DAP atau PKR, sudah tentu mereka akan diberikan jawatan yang tinggi, "masyuk" dan mungkin bakal menjadi "menteri kabinet", walaupun dalam "bayangan"...

Jadi tunggu apa lagi? Tubuh parti baru dengan wadah baru yang "lebih benar" dan "lebih suci" dari PAS. Lepas itu, bolehlah lawan siapa lebih "Islam", kan? Kenapa tidak buat sekarang? Kalau "hebat" sangat, buatlah sekarang dan tidak perlu tunggu lepas Hari Raya...

Disediakan oleh : Amir Hamzah/Utaranews.com

No comments:

Post a Comment