Monday, June 29, 2015
Peluang Azmin Sudah Berakhir - Faekah Kritik Kerajaan Selangor Lagi
29 Jun 2015, Kuala Lumpur : Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali didakwa gagal 
membuktikan keupayaannya mentadbir negeri berkenaan dan perlu memberi 
laluan kepada pihak yang lebih layak.
Pegawai khas kepada bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah 
Husin berkata, situasi ini menunjukkan Azmin telah mempersia-siakan 
peluang yang diberikan kepadanya selama ini.
Katanya, kenyataan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Azmin 
hebat mentadbir Selangor dan negeri itu makmur di bawah pentadbirannya 
adalah bersifat ghairah serta mengampu kerana ia dibuat tanpa fakta atau
 pun hujah.
"Apakah butiran fakta dan hujah yang boleh mereka kemukakan untuk 
membuktikan kononnya Selangor lebih maju dan makmur setelah Azmin 
menjadi menteri besar hanya selama sembilan bulan? Adakah pada mereka 
maksud 'kemakmuran' ialah bersenang lenang berbelanja wang rezab yang 
dikumpul pentadbiran terdahulu?
"Azmin telah mempersiakan peluang yang telah diberikan untuk membuktikan
 keupayaan beliau selama sembilan bulan. Maka tiada jalan lain yang 
lebih adil dan berfaedah bagi rakyat Selangor melainkan beliau beri 
laluan kepada yang lebih layak," katanya dalam satu kenyataan media, 
Isnin.
Faekah berkata, banyak persoalan boleh dibangkitkan apabila Selangor 
dikatakan makmur di bawah pentadbiran Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit 
Antarabangsa itu.
Antara yang dibangkitkan termasuklah Selangor yang mencatatkan rekod 
tertinggi kes denggi, masalah sampah, longkang tersumbat dan projek 
Lebuhraya Kidex.
"Adakah 'kemakmuran' namanya apabila Selangor kekal menjadi juara negeri
 tertinggi kes penyakit denggi meskipun habis semua bas sekolah disembur
 ubat nyamuk?
"Adakah 'kemakmuran' dirasai rakyat apabila kontraktor meraih keuntungan
 berganda dengan menurap jalan berkali-kali sedang longkang kekal 
tersumbat dan sampah bertimbunan di bahu jalan dan di taman-taman 
perumahan?
Beliau turut mempertikaikan mengenai penstrukturan air di Selangor di 
mana beliau mendakwa Azmin telah meletakkan beban kegagalan 
memuktamadkan penstrukturan semula industri air ke atas bahu Khalid.
"Adakah dikatakan 'hebat' apabila menteri besar dengan 
sewenang-wenangnya meletakkan beban kegagalan memuktamadkan 
penstrukturan semula industri air ke atas bahu mantan menteri besar 
sedangkan beliau hanya perlu melaksanakan terma dan syarat perjanjian 
utama yang telah dimeterai hasil rundingan kompleks dan holistik selama 
lima tahun dalam lebih 60 sesi mesyuarat dan perbincangan di antara 
kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan," soalnya lagi.
Katanya, dalam isu ini Khalid telah menyempurnakan aspek paling penting 
dan rumit dalam proses penstrukturan semula yang melibatkan struktur dan
 kerangka kewangan setelah menolak perkhidmatan bank pelaburan 
antarabangsa.
Penolakan itu katanya, sekali gus menjimatkan kerajaan Negeri daripada 
membayar fi dan caj bernilai sekurang-kurangnya RM20 juta.
Dalam pada itu, beliau turut mengaitkan 'kemakmuran' yang dikecapi 
bersandarkan kegagalan demi kegagalan Azmin untuk menyelesaikan pelbagai
 isu berkaitan bekalan air bersih sehingga menyebabkan sekitar 600 
penduduk Selangor berarak 'bersenjatakan' gayung dan baldi ke Bangunan 
SUK di Shah Alam.
Beliau turut mendakwa pegawai Azmin dilaporkan sibuk berbincang di atas 
dan di bawah meja dengan pelbagai pihak untuk menjayakan projek 
perumahan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10 billion setelah 
Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dtubuhkan.
Mengenai kesudian Khalid untuk kembali menerajui tampuk kerajaan negeri 
demi memastikan pentadbiran yang telus, berkeupayaan, bertanggungjawab, 
berintegriti dan bebas rasuah, beliau mengakui tidak terkejut dengan 
reaksi melatah daripada beberapa pemimpin PKR yang ternyata kurang 
senang dengan berita itu.
"Seolah-olah siri ulang tayang kepada apa yang berlaku tahun lepas, 
apabila pemimpin PKR meneruskan "tradisi" mencerca, maki hamun, fitnah 
dan pembohongan tanpa segan silu atau rasa hormat terhadap bulan Ramadan
 yang mulia ini," katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment