 
 Tuesday, June 30, 2015
Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak Pemangkin Transformasi Hidup Rakyat – Najib
1 Julai 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pembinaan 
Lebuhraya Pan Borneo Sarawak akan menjadi pemangkin transformasi 
kehidupan rakyat dan membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat di negeri 
itu. 
Perdana menteri berkata ia juga dapat merealisasikan usaha kerajaan 
melaksanakan pembangunan yang berpaksikan rakyat di Sarawak, 
memandangkan lebuh raya berkenaan merupakan penghubung bandar-bandar 
utama di negeri itu dan seterusnya bertemu dengan lebuh raya di Sabah. 
 
 
“Impian saya untuk melihat pembangunan sama rata dan pengurangan 
jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semakin menjadi 
kenyataan. 
“Insya-Allah kita akan berusaha melaksanakan projek ini bersama,” 
katanya dalam catatan terbaharu blog www.najibrazak.com hari ini. 
Semalam, perdana menteri menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan
 projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,090 kilometer di 
Sarawak melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan 
Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) di Putrajaya. 
Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya
 Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri 
Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi LBU Tan Sri Abang Ahmad Urai 
Hakim Abang Mohideen. 
Turut hadir menyaksikan majlis menandantangani perjanjian itu ialah 
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Ketua Setiausaha Negara Tan 
Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fasa pertama pembinaan lebuhraya itu melibatkan jajaran sepanjang 773 kilometer yang dijangka dimulakan pada September ini.
Lebuhraya Pan Borneo Sarawak merupakan sebahagian daripada Lebuhraya 
Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer akan menjadi penghubung 
bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.
Menurut Najib, sebagaimana Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) 
telah membuka peluang pembangunan dan penambahbaikan perhubungan antara 
bandar di Semenanjung Malaysia, perkara sama boleh dicapai melalui 
pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo melibatkan kos keseluruhan RM27 bilion dan dijangka siap pada tahun 2020.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment