Monday, June 29, 2015
Salakan Anjing Tidak Akan Hentikan PAS - Haji Hadi
Mengumpamakan serangan kumpulan anti Hudud terhadap PAS sebagai salakan
anjing... Datuk Seri Abdul Hadi Awang berserta kepimpinan utama PAS yang
menang besar dalam Muktamar PAS ke 61 Jun lalu memulakan roadshow
sulung mereka di Pulau Pinang Sabtu malam dengan kehadiran ribuan orang.
Menggunakan kesempatan depan ahli PAS tegar di negeri pimpinan DAP itu,
Haji Hadi mennegaskan bahawa PAS akan meneruskan agenda untuk
melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.
Beliau berkata walaupun ada sesetengah pihak yang menolak pelaksanaan
undang-undang hudud, PAS tidak akan berganjak malah mengorak langkah
dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta
355) bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan
di negeri itu.
"Dalam hal ini, PAS mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai.
PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi,
nak ajak berlawan. Biarlah...biar dia sahaja yang bersuara kita bawa
agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak...qabilah berjalan
terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.
"Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa
sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus
bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak," katanya pada ceramah
perdana kepimpinan PAS Pusat di Markas Tarbiyah PAS negeri, Pongsu
Seribu Pulau Pinang Sabtu malam.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib
Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan
Tantawi dan barisan kepimpinan PAS negeri Pulau Pinang.
Bernama melaporkan Abdul Hadi sekali lagi mengulangi bahawa
undang-undang hudud bukan untuk menyeksa penjenayah sebaliknya ia
bertujuan mendidik penjenayah selain membela mangsa yang dizalimi.
"Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat yang
ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana
sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.
"Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit,
tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal
penjenayah. Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan
kulit," katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan anggota-anggota PAS untuk
menjaga setiap tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang
mempunyai adab, akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota
parti.
"Kita kena ingat bahawa selagi kita ikat diri kita di jalan Islam
menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik Islam, nama baik
jemaah dan perjuangan yang kita bawa.
"Jangan kita tiba-tiba duduk dalam jemaah dan kita mengkritik jemaah
yang kita duduk itu. Ia tidak mencerminkan kebaikan akhlak kita kerana
seorang yang baik tidak akan keluar daripada mulutnya melainkan
kebaikan," katanya.
PAS kini berdepan perpecahan selepas pemimpin yang kalah Muktamar lalu
mengancam untuk menubuhkan parti baru selepas Aidilfitri nanti.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment