Monday, June 29, 2015

Najib Sedia Terima Kritikan Selagi Ia Membina

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa beliau tidak pernah segan untuk menerima kritikan jauh sekali menolak sebarang kritikan.

Namun, katanya apa yang penting setiap kritikan yang dilemparkan mestilah sesuatu yang membina dan mampu memberi kebaikan.
image
“Kata (kritik) tidak betul tapi tak bagi tahu apa yang betul. Pertikai, kata kerajaan tiada hasil, kalau tiada hasil manakan kerajaan dapat membina banyak universiti … bagaimana nak laksanakan pembangunan untuk negara,” katanya.
image
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama penuntut universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta dan institut pendidikan guru di Putrajaya, Isnin.

Majlis yang berlangsung di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana itu dihadiri kira-kira 1,700 orang.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai hadirin menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat Tarawih.

Perdana Menteri berkata setiap sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan bukan dibuat sesuka hati, sebaliknya ia telah difikirkan semasak-masaknya termasuk manfaat dan faedah yang bakal dinikmati rakyat.

Dalam ucapannya, Najib berkata kerajaan sedia memberikan kuasa kepada universiti supaya ia dapat membuat keputusan sendiri sebagai usaha untuk memantapkan institusi pendidikan tinggi.

Beliau berkata dengan memberikan kuasa itu sesebuah universiti boleh membuat keputusan tanpa merujuk kepada ‘agensi pusat’ sekali gus membantu melahirkan lebih banyak modal insan untuk memacu daya saing negara.

“Inilah hasrat kerajaan dan pada masa sama saya berharap untuk terus mewujudkan hubungan baik dengan para mahasiswa,” kata Perdana Menteri.

Najib mengingatkan para mahasiswa agar tidak mudah percaya terhadap berita-berita yang disiarkan di media sosial.

“Harap adik-adik pelajar semua yakinlah dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan. Jangan percaya atau telan bulat-bulat apa yang dibaca di media sosial, walaupun popular tidak semestinya ketepatan berita itu terjamin,” katanya.

Najib menegaskan bukan semua laporan dalam media sosial itu sahih kerana ada antaranya hanya menceritakan separuh daripada kebenaran malah tidak kurang juga yang hanya berbentuk pendapat penulis semata-mata.

“Harap para pelajar semua dapat lakukan saringan dan menilai apa yang dilaporkan dengan pemikiran rasional,” katanya.

Perdana Menteri mengajak umat Islam negara ini menghargai nilai kemakmuran dan keamanan yang dinikmati sehingga membolehkan ibadah puasa dijalankan dalam keadaan tenang serta selesa.

Katanya ‘anugerah’ itu adalah hasil daripada dasar-dasar kerajaan termasuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sejak merdeka selain menjalankan pemerintahan berlandaskan prinsip dan lunas-lunas Islam.

“Kalau lihat suasana dunia hari ini sebahagian besar dunia Islam dalam keadaan bergolak dan peperangan sengit sehingga dalam bulan Ramadan ada umat Islam yang terkorban,” katanya.

Dipetik daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment