Tuesday, June 30, 2015
1MDB Beri Respons Kepada Soalan Sama Berhubung Dana Hilang
1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini memberi
 respons kepada pelbagai tuduhan terhadap syarikat itu susulan soalan 
sama dibangkitkan dan dakwaan dananya ‘hilang’ atau ‘tidak dapat 
dikesan’.
Dalam kenyataan, 1MDB menegaskan kedudukan yang dinyatakan sebelum 
ini, bahawa jika terdapat mana-mana salah laku, maka tindakan perlu 
diambil oleh pihak berkuasa yang sah, mengikut proses dan undang-undang 
negara.
Ia juga berkata syarikat terus komited untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya.
Dengan merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, 1MDB berkata, bekas 
Perdana Menteri itu terus mengulangi soalan sama dan tuduhan tidak 
berasas bahawa dana 1MDB ‘hilang’ atau ‘tidak dapat dikesan’, tanpa 
memberikan sebarang bukti.
Katanya tuduhan masih dibuat walaupun penjelasan telah diberikan oleh
 1MDB dan hakikat bahawa KPMG dan Deloitte berpegang teguh kepada 
keputusan audit mereka pada prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
 (PAC) baru-baru ini, dan siasatan yang sedang dijalankan terhadap 
perkara ini oleh pihak berkuasa yang sah.
1MDB berkata tuduhan dan kenyataan yang mengelirukan oleh Dr. 
Mahathir dan beberapa ahli politik pembangkang ternyata memberi kesan 
kepada keupayaan 1MDB, syarikat milik penuh kerajaan, untuk terus 
menjalankan perniagaannya dan menyebabkan kerosakan kepada ekonomi yang 
lebih luas.
Selain itu, tuduhan sedemikian memberi kesan negatif kepada 
pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB yang diumumkan pada 29 Mei, 2015, 
yang bertujuan mengurangkan paras hutangnya dan memastikan nilai 
maksimum dijana untuk kerajaan.
Kenyataan itu menegaskan bahawa, 1MDB merupakan subjek kepada 
siasatan yang sedang dijalankan oleh PAC – jawatankuasa Parlimen 
dwipartisan.
“PAC merupakan pihak berkuasa yang sah untuk mengesahkan sama ada 
RM42 bilion telah ‘hilang’ daripada 1MDB, berikutan ia mempunyai akses 
kepada semua maklumat. 1MDB percaya anggota PAC akan meneliti secara 
khusus kepada dakwaan ini dan memberi keputusan mereka untuk 
menyelesaikan perkara ini dengan muktamad,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment