Tuesday, June 30, 2015
15 Ribu Unit Kediaman Warga PDRM Akan Dibina
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari 
ini mengumumkan pertambahan sejumlah 15,000 unit kediaman warga Polis 
Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara yang akan dibina tidak lama 
lagi.
Menurut beliau, pertambahan bilangan rumah itu bertujuan untuk 
memberi keselesaan kepada polis yang berkhidmat untuk keselamatan dan 
kesejahteraan masyarakat.
“Saya dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri tentang penambahan 
inisiatif sebanyak 15,000 rumah untuk anggota polis demi keselesaan 
semua yang bertugas.
“Sebab apa kerajaan lakukan ini… sebab anda semua berhak,” katanya 
ketika berucap dalam Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bulan Ramadan 
anjuran PDRM Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari 
ini.
Yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua 
Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya, Datuk Seri Noor 
Rashid Ibrahim.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut menyuarakan rasa 
penghargaan kepada PDRM dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara 
khususnya daripada ancaman keganasan militan.
“Alhamdulillah tiada kejadian keganasan membabitkan militan Negara 
Islam (IS) lagi setakat ini. Perkara itu berlaku sejak dasar 
transformasi negara ditubuhkan dan pengurangan kadar jenayah diberikan 
keutamaan.
“Ini dibuktikan apabila 40 peratus kadar jenayah berkurangan sejak 
lima tahun kebelakangan ini serta 20 peratus pengurangan jenayah 
melibatkan kecurian kereta. Jika anda tidak percaya tanyalah kepada 
syarikat-syarikat insurans,”ujarnya.
Menyentuh soal nilai murni, Najib turut menyeru orang ramai supaya 
mengambil berkat di bulan Ramadan dengan berbaik sesama sendiri.
“Antara intipati dalam ajaran islam adalah mengukuhkan hubungan 
silaturahim selain hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia juga 
harus ditekankan supaya kita dapat hidup dalam suasana yang rukun, aman 
dan damai.
“Islam merupakan agama yang menjurus kepada kedamaian dan bukan ganas
 kerana Islam mengajar jalan kesederhanaan iaitu wasatiyah yang tidak 
ekstrem dan tidak terlalu longgar,” katanya.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri dan isteri turut menyampaikan 
sumbangan duit raya kepada 108 anak yatim dan balu polis. Beliau turut 
mengumumkan peruntukkan RM1 juta untuk masjid PDRM.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment