Monday, June 29, 2015
Kerajaan Pulau Pinang Usah Persoal PR1MA, Lulus Dulu Pelan Rumah Mampu Milik Lain - Zainal Abidin
28 Jun 2015, Georgetown : Kerajaan Pulau Pinang tidak 
harus mempersoalkan rancangan pembinaan rumah di bawah Perumahan Rakyat 
1Malaysia (PR1MA) sedangkan pelan rumah kos rendah, sederhana rendah dan
 mampu milik yang dikemukakan untuk dibina di negeri ini hampir dua 
tahun lalu, masih tidak diluluskan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin 
Osman berkata sehingga hari ini, kelulusan pelan projek pembinaan 
sebanyak 9,500 unit rumah kos rendah dan mampu milik oleh agensi 
kerajaan pusat, masih tertangguh.
Justeru, beliau menyeru kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP agar tidak
 terus melengah-lengahkan pelan pembinaan 9,500 unit rumah mampu milik 
berkenaan yang dikemukakan agensi kerajaan Persekutuan, JKP Sdn Bhd dan 
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
“Tidak ada satu unit pun diluluskan tahun lepas dan tahun ini. Kita 
sudah tunggu satu setengah tahun tanpa sebarang kelulusan,” katanya 
kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di UMNO Bahagian Bayan 
Baru, malam tadi.
Zainal Abidin berkata Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan 
Negeri Jagdeep Singh Deo kerap mempersoalkan mengenai pelan perumahan 
PR1MA, sedangkan rancangan membina 9,500 unit rumah yang dikemukakan, 
hampir dua tahun lalu itu  tidak mendapat perhatian.
Beliau menjelaskan rancangan PR1MA adalah di bawah fasa ketiga yang 
bakal memanfaatkan 35,000 rakyat dan ia tidak dapat dilaksanakan kerana 
pelan fasa pertama yang melibatkan 9,500 unit masih tertangguh.
“Kita tunggu pelan fasa pertama diluluskan dulu sebelum melaksanakan 
fasa kedua yang akan membabitkan 25,000 unit rumah dan seterusnya fasa 
ketiga (PR1MA).
“Lulus dulu pelan fasa pertama sebelum bercerita pasal PR1MA (fasa 
ketiga) yang masih dalam perancangan yang dibuat untuk kepentingan 
rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Zainal Abidin turut menyuarakan kekesalan dengan sikap kerajaan 
negeri yang sentiasa memberi alasan untuk tidak meluluskan projek yang 
dikemukakan dengan menyatakan pelan tersebut tidak mengikut syarat.
“Sewaktu kita mohon bawah JKP untuk 9,500 unit, mereka kata tak boleh
 lulus kerana pelan tidak ikut syarat. Jadi pelan bagi lapan daripada 15
 projek telah dipinda, tetapi sampai sekarang tak diluluskan,” katanya.
Zainal Abidin berkata kerajaan negeri sekali lagi 
bertindak melengah-lengahkan kelulusan projek berkenaan dengan 
menyatakan JKP berhutang sebanyak RM500,000 dengan Majlis Bandaraya 
Pulau Pinang ekoran insiden runtuhan penebat kilat bangunan UMNO di 
Jalan Macalister, dua tahun lepas.
“Kerajaan negeri mendakwa MBPP terpaksa baiki kerosakan jalan dan 
pasang jeriji di atas bangunan yang rosak demi keselamatan awam yang kos
 hanya mungkin RM100,000. Mereka kata kena bayar dulu (RM500,000) baru 
lulus pelan,” jelasnya.
Bagaimanapun, menurut Zainal Abidin ‘hutang’ berkenaan telah 
dilangsaikan namun pelan masih tidak diluluskan dan pihaknya seakan-akan
 dipermain-mainkan kerajaan negeri yang sering mencari masalah dan 
bukannya penyelesaian.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment