Monday, June 29, 2015
Penangguhan Pemilihan UMNO Tiada Kaitan Isu 1MDB - Tengku Adnan
27 Jun 2015, Kuala Lumpur : Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan 
Tengku Mansor hari ini menafikan dakwaan penangguhan pemilihan UMNO 
adalah untuk memberi ruang bagi membersihkan isu hutang 1MDB.
Beliau berkata sebaliknya penangguhan itu bertujuan memperkasakan 
parti serta memberi fokus kepada agenda pembangunan negara yang lebih 
efektif.
“Keputusan itu adalah sebulat suara di peringkat akar umbi untuk 
lebih fokus kepada perkara yang mempunyai keutamaan kepada negara. Jika 
pemilihan diteruskan, mungkin akan timbul perkara yang tidak sewajarnya 
buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 
program ‘Shopping Raya 2015 bersama Anak-Anak Yatim dan Kurang Bernasib 
Baik’ di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib 
Tun Razak mengumumkan untuk menangguhkan pemilihan yang dijadual pada 
tahun depan selama 18 bulan mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti yang
 memberi hak kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menangguhkan pemilihan 
di peringkat MT, bahagian dan cawangan.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata 
tempoh penangguhan itu akan dimanfaatkan dengan pelbagai program bagi 
persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Seramai 880 anak yatim seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya diraikan 
pada program itu untuk membeli kelengkapan persiapan Aidilfitri, 
manakala program sama untuk anak yatim di Labuan akan diadakan pada 2 
Julai.
Tahun ini, sebanyak RM130,000 telah disumbangkan oleh Yayasan 
Wilayah Persekutuan sebagai membantu mereka yang kurang bernasib baik 
itu untuk turut serta merasai keceriaan menyambut perayaan.
Program yang diadakan dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO 
Wilayah Persekutuan serta pusat membeli-belah AEON itu turut 
menyampaikan sampul raya sebanyak RM50, serta RM200 untuk membeli 
barangan keperluan Aidilfitri.
Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 
penangguhan pemilihan UMNO bertepatan dengan hasrat mengukuhkan jentera 
parti demi menghadapi PRU14 akan datang.
“Saya yakin bahawa semua parti ada objektif yang sama untuk pastikan 
bahawa pada PRU akan datang kita semua perlu fokus dan bersatu padu beri
 perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas 
merasmikan bangunan Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) Komuniti 
Chest di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Yoke di sini, hari 
ini.
Liow berkata langkah yang dibuat oleh Presiden UMNO itu juga adalah 
bagi menumpukan usaha pada pembangunan masyarakat dan negara kerana 
perkara tersebut adalah lebih penting berbanding agenda lain.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment