Tuesday, June 30, 2015
Kebakaran Bateri Lithium-Ion Dikatakan Punca MH370 Terhempas
30 Jun 2015, Kuala Lumpur : Dianggap sebagai antara teori terbaru mengenai 
MH370, seorang juruterbang Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan 
berkata, asap toksik kebakaran yang disebabkan bateri litium-ion ketika 
penerbangan berkemungkinan menyebabkan pesawat itu terhempas di selatan 
Lautan Hindi.
Dalam analisis terkini yang disiarkan melalui laman webnya, 
www.mh370site.com, Bruce Robertson, berkata bateri mencetuskan kebakaran
 dalam kargo, menyebabkan ruang kabin pesawat milik Penerbangan Malaysia
 (MAS) itu dipenuhi dengan karbon monoksida.
Ini menyebabkan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid terpaksa membawa
 pesawat berkenaan berlegar-legar di ruang udara dan berada pada 
kedudukan rendah untuk melakukan pendaratan kecemasan.
Bagaimanapun, Robertson mengandaikan Fariq terpaksa tunduk akibat asap 
kebakaran, menyebabkan pesawat terus terbang secara autopilot selama 
beberapa jam.
Beliau berkata, pesawat itu kemungkinan mengambil selekoh kiri pada 
radius yang besar sebelum terhempas ke laut, barat Exmouth di negeri 
Australia Barat, kira-kira 21 darjah ke selatan dan 103 darjah ke timur.
Robertson berkata, pasukan mencari memeriksa di lokasi yang salah 
apabila zon carian terkini menjangkau ke kawasan barat daya, ke barat 
Perth.
"Terlalu banyak masa dan wang telah dibazirkan pada pencarian yang sia-sia," katanya.
Penerbangan MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing apabila ia hilang dari radar pada 8 Mac 2014.
Tiada kesan ditemui walaupun operasi mencari paling luas dalam sejarah 
penerbangan. Semua 227 penumpang dan 12 anak kapal dianggap meninggal 
dunia selepas pengisytiharan rasmi kerajaan Malaysia pada 29 Januari, 
mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kemalangan berdasarkan peraturan
 penerbangan antarabangsa.
Pada 24 Jun, Go Phoenix satu daripada tiga kapal yang terbabit dalam 
pencarian MH370 menghentikan operasi selepas kontraknya berakhir.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang menyelia operasi carian 
berkata, dua kapal lagi, Fugro Discovery dan Fugro Equator, akan kembali
 ke kawasan carian selepas menambah bekalan.
Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata 
fasa pertama misi carian akan dimuktamadkan pada akhir bulan ini.
"Jika kita masih tidak menemui sebarang kesan, Malaysia komited untuk 
teruskan fasa kedua bulan depan bersama JACC, sebuah badan induk yang 
ditubuhkan bersama oleh Malaysia, China dan Australia," katanya. 
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment