Monday, June 29, 2015
Hadi Awang : Biar Anjing Menyalak, PAS Tetap Pertahan Hudud
28 Jun 2015, Kepala Batas : Pas akan meneruskan agenda untuk melaksanakan 
undang-undang hudud di Kelantan, demikian ditegaskan Presidennya, Datuk 
Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, walaupun ada sesetengah pihak yang menolak pelaksanaan 
undang-undang hudud, Pas tidak akan berganjak malah mengorak langkah 
dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 
355) bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan 
di negeri itu.
"Dalam hal ini, Pas mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai.
 Pas tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, 
nak ajak berlawan. Biarlah...biar dia sahaja yang bersuara kita bawa 
agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak...qabilah berjalan 
terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.
"Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa 
sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus
 bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak," katanya pada ceramah 
perdana kepimpinan Pas Pusat di Markas Tarbiyah Pas negeri, Pongsu 
Seribu di sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib 
Presiden Pas Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan 
Tantawi dan barisan kepimpinan Pas negeri Pulau Pinang.
Abdul Hadi sekali lagi mengulangi bahawa undang-undang hudud bukan untuk menyeksa penjenayah sebaliknya ia bertujuan mendidik penjenayah selain membela mangsa yang dizalimi.
"Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat yang
 ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana 
sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.
"Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit, 
tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal 
penjenayah. Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan 
kulit," katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan ahli Pas untuk menjaga setiap 
tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang mempunyai adab, 
akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota parti.
"Kita kena ingat bahawa selagi kita ikat diri kita di jalan Islam 
menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik Islam, nama baik 
jemaah dan perjuangan yang kita bawa.
"Jangan kita tiba-tiba duduk dalam jemaah dan kita mengkritik jemaah 
yang kita duduk itu. Ia tidak mencerminkan kebaikan akhlak kita kerana 
seorang yang baik tidak akan keluar daripada mulutnya melainkan 
kebaikan," katanya. 
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment