Tuesday, June 30, 2015
Kerajaan Sedia Beri Kuasa Kepada Universiti...Syabas PM
Putrajaya : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan 
sedia memberikan kuasa kepada universiti supaya ia dapat membuat 
keputusan sendiri sebagai usaha untuk memantapkan institusi pendidikan 
tinggi itu.
Beliau berkata dengan memberikan kuasa itu sesebuah universiti boleh 
membuat keputusan tanpa merujuk kepada 'agensi pusat' sekali gus 
membantu melahirkan lebih banyak modal insan untuk memacu daya saing 
negara.
"Inilah hasrat kerajaan dan pada masa sama saya juga berharap untuk 
terus mewujudkan hubungan baik dengan para mahasiswa," katanya ketika 
berucap pada majlis berbuka puasa bersama penuntut universiti awam, 
institusi pengajian tinggi swasta dan institut pendidikan guru di sini 
malam ini.
Dalam ucapannya selama kira-kira 20 minit itu, perdana menteri turut 
mengingatkan para mahasiswa agar tidak mudah percaya terhadap 
berita-berita yang disiarkan di media sosial.
"Harap adik-adik pelajar semua yakinlah dengan apa yang dilakukan oleh 
kerajaan. Jangan percaya atau telan bulat-bulat apa yang dibaca di media
 sosial, walaupun popular tidak semestinya ketepatan berita itu 
terjamin," katanya.
Najib menegaskan bukan semua laporan dalam media sosial itu sahih kerana
 ada antaranya hanya menceritakan separuh daripada kebenaran malah tidak
 kurang juga yang hanya berbentuk pendapat penulis semata-mata.
"Harap para pelajar semua dapat lakukan saringan dan menilai apa yang dilaporkan dengan pemikiran rasional," katanya.
Perdana Menteri juga mengajak umat Islam di negara ini supaya menghargai
 nilai kemakmuran serta keamanan yang dinikmati sehingga membolehkan 
ibadah puasa dijalankan dalam keadaan tenang serta selesa.
Katanya "anugerah" itu adalah hasil daripada dasar-dasar kerajaan 
termasuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sejak merdeka 
selain menjalankan pemerintahan berlandaskan prinsip dan lunas-lunas 
Islam.
"Kalau lihat suasana di dunia hari ini sebahagian besar dunia Islam 
dalam keadaan bergolak dan peperangan sengit sehingga dalam bulan 
Ramadan ada umat Islam yang terkorban," katanya. 
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment