Monday, June 29, 2015
Azmin Perlu Selesai Isu Air Selangor Atau Berundur Sebelum Terlambat - Khalid
Saya yakin ramai rakyat di Lembah Kelang secara amnya dan Selangor 
khususnya berasa kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri Selangor dan YAB 
Dato' Menteri Besar yang jelas tiada kewibawaan mahupun komitmen untuk 
menyelesaikan dengan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan 
air negeri.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan "ancaman" oleh Puncak Niaga 
Holdings Berhad (PNHB), pemegang saham terbesar dalam dua syarikat 
konsesi air di Selangor yakni Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan 
Air Selangor untuk membatalkan perjanjian jual beli dengan Pengurusan 
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) selepas lima kali permohonan oleh 
Air Selangor untuk melanjutkan tempoh memenuhi syarat perjanjian 
tersebut. PNHB juga mengancam mengambil tindakan undang-undang untuk 
mendapatkan semula hutang tertunggak Kerajaan Negeri yang dianggarkan 
mencecah RM4.97 billion pada 31 Mac 2015.
Tidak mustahil ancaman PNHB ini bertukar menjadi realiti memandangkan 
"imuniti" yang dinikmati oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd 
(SPLASH), satu lagi syarikat konsesi air untuk terus berdegil menolak 
tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan kegagalan berlarutan 
Kerajaan Negeri memuktamadkan Perjanjian Utama yang dimeterai pada 12 
September 2014 dengan Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad 
(PAAB) dan Air Selangor.
Walaupun DYMM Sultan Selangor sendiri telah berulang kali mengingatkan 
jemaah pentadbiran negeri untuk memastikan penyusunan semula industri 
air dimuktamadkan secepat mungkin tanpa bercanggah dengan semangat dan 
terma Perjanjian Utama, namun titah Tuanku Sultan seolah-olah tidak 
diendahkan sama sekali.
Sejak hari pertama mengepalai pentadbiran negeri pada hujung bulan 
September 2014 hinggalah ke hari ini, YAB Dato' Menteri Besar bukan 
sahaja kelihatan sengaja melengah-lengahkan proses pengambilalihan 
keempat-empat syarikat konsesi air, malah gagal menggariskan satu pelan 
tindakan terperinci, lengkap dengan langkah-langkah konkrit untuk 
menyelesaikan semua isu berkaitan perkhidmatan air. Akibatnya, saya 
difahamkan bahawa para pegawai yang selama ini bertungkus-lumus dalam 
usaha menyempurnakan penyusunan semula industri air Selangor kini 
seolah-olah hilang punca tanpa hala tuju dan garis panduan yang jelas 
daripada Dato' Menteri Besar.
Sebaliknya, apa yang beliau mampu lakukan hanyalah melemparkan pelbagai 
kenyataan mengelirukan, dolak-dalih retorik, dakwaan tempang dan tuduhan
 tidak berasas terhadap pihak-pihak berkepentingan yang lain terutama 
Kerajaan Persekutuan. Sama ada beliau memang tiada kompetensi atau 
sebenarnya ada udang di sebalik batu.
Rakyat juga sedang menanti pendedahan Dato’ Menteri Besar nama syarikat 
dan mereka yang didakwa oleh Ketua Umum PKR pada September 2014 bakal 
mendapat laba bernilai jutaan ringgi hasil Perjanjian Utama ini. Rakyat 
berhak diberi maklumat lengkap siapa yang bakal mendapat manfaat 
melampau yang melibatkan dana awam.
Berulang kali telah saya tegaskan bahawa kejayaan penstrukturan semula 
industri perkhidmatan air Selangor merupakan prasyarat utama demi 
menjamin:
> bekalan air terawat mencukupi bagi kegunaan isirumah, komersil dan industri
> perkhidmatan air efisien, bebas gangguan serta pada tarif munasabah dan tidak membebankan rakyat
> berakhirnya perjanjian konsesi berat sebelah yang nyata hanya memberi keuntungan berlipat ganda kepada pemegang konsesi
> pemulangan semua aset dan hal-ehwal berkaitan air kepada Kerajaan 
Negeri dalam bentuk kuasa dan kawalan mutlak serta rakyat dalam bentuk 
saham
Berbanding dengan pentadbiran negeri terdahulu yang beriltizam tinggi 
dan gigih berusaha menjayakan penyusunan semula industri air dan 
menyelesaikan segala permasalahan berkaitan air dengan kerjasama 
Kerajaan Persekutuan, Dato' Menteri Besar sekarang nampaknya terlalu 
fokus dengan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang baru sahaja 
ditubuhkan hasil pengubahsuaian Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).
 Malah, saya dimaklumkan bahawa DEIG sekarang sedang giat mengadakan 
perbincangan dengan pelbagai syarikat pemaju hartanah swasta untuk 
menjayakan lima projek perumahan yang keseluruhannya bernilai RM10 
billion.
Setelah berulang kali saya menegaskan tiada kompromi dalam proses 
memuktamadkan penstrukturan semula industri Selangor demi kemaslahatan 
pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka bakal 
mengalami masalah bekalan air kritikal sekiranya Loji Rawatan Air Langat
 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) gagal disiapkan menjelang 2017, saya 
yakin Kerajaan Persekutuan tidak akan teragak-agak menguatkuasakan Akta 
Perkhidmatan Industri Air 2006 khususnya Seksyen 114 sekiranya usaha ini
 menemui jalan buntu.
Sekiranya Dato' Menteri Besar sendiri sedar akan had keupayaan peribadi 
dan mana-mana kekangan lain untuk memuktamadkan segera penyusunan semula
 industri air Selangor pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 
billion, maka saya ulang gesaan yang pernah saya utarakan di dalam Dewan
 Negeri Selangor sebelum ini. Keikhlasan mendahulukan rakyat akan 
terpancar jika beliau berundur sekarang supaya Dewan Negeri Selangor 
dapat mencari seorang pengganti yang benar-benar layak, berkemampuan dan
 berkebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab berat ini.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
ADUN PELABUHAN KLANG
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment