Monday, June 29, 2015
Pembalut Sahaja Baharu, Isi Tetap Sama, Itulah Pembangkang – Nasarudin
29 Jun 2015, Kuala Lumpur : Pembalut sahaja yang baharu, tetapi isinya 
tetap sama. Itulah realiti yang berlaku di dalam pakatan pembangkang 
apabila terdapat usaha beberapa pihak yang ingin mewujudkan gabungan 
baharu, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin 
Hashim.
Menurutnya lagi, tiada makna usaha mereka itu, yang nyata hanyalah 
berterus-terusan menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai jenama dan nama
 kononnya ‘segar’ dan ‘baharu’ walhal langsung tiada keserasian.
Seterusnya, beliau berpandangan usaha beberapa pihak di dalam 
pembangkang itu juga sebagai tanda yang amat jelas bahawa pakatan baharu
 ini tidak lagi memerlukan parti Pas, rentetan daripada kemelut antara 
Pas dan Dap.
“Dahulu mereka memerlukan Pas untuk meraih undi orang Melayu dan 
Islam, tetapi apabila kemelut semakin kritikal dan meruntuhkan gabungan 
mereka, maka, mereka merasakan cara untuk menafikan sumbangan parti Pas 
adalah dengan menubuhkan gabungan yang baharu tanpa penglibatan Pas.
“Sebab itu Dap dilihat amat mesra dengan Pasma dan juga kumpulan yang
 dikenali dengan G-18, rakan sekutu yang baharu,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, tindakan mereka ini jelas menunjukkan kepada rakyat 
bahawa di dalam pembangkang, mereka masih tercari-cari formula untuk 
dijadikan sebagai gabungan yang kukuh dan ia pasti tidak akan berjaya 
jika akhirnya masing-masing ego dengan pendirian parti masing-masing.
Tambahan juga mereka tidak yakin dan percaya sesama sendiri untuk 
membentuk satu gabungan parti yang benar-benar terbentuk atas satu 
struktur, berdaftar dan satu nama pertubuhan serta menggunakan satu logo
 sahaja seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), katanya lagi.
“Negara telah menghadapi berapa banyak siri pilihan raya umum mahupun
 kecil, BN tetap kekal dengan namanya bukan sahaja bertambah parti 
komponen, malahan ada sahabat BN.
“Tetapi pembangkang, tidak habis-habis dengan masalah keserasian 
antara mereka, bergabung, berpakat, masing-masing ego dengan pendirian 
sendiri sahaja dan akhirnya berpecah.
“Kesannya, rakyat yang mengundi mereka pasti akan merasa tertipu, 
semasa kempen pilihan raya mendabik dada mengatakan mereka yang terbaik 
berbanding BN tetapi hakikatnya, mereka tidak mampu menyaingi BN,” 
ujarnya.
Justeru itu, menurut beliau rakyat perlulah memberi kepercayaan 
kepada BN di dalam mengurus dan mentadbir negara kerana pakatan 
pembangkang hanya lebih kepada kepentingan dan agenda parti sendiri 
sahaja.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment