Tuesday, June 30, 2015

Selangor Terus Jadi Juara Carta Masalah Air, Sampah Dan Denggi

30 Jun 2015, Kuala Lumpur : Pembangkang sentiasa mendabik dada mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka yang terbaik mentadbir dan mengurus negeri, tetapi sebenarnya, kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang Negeri Selangor tidak bersungguh-sungguh menangani permasalahan harian yang terpaksa dihadapi oleh rakyatnya.

Demikian menurut pandangan Ketua Puteri UMNO Negeri Selangor, Salbiah Saari ketika mengulas mengenai isu keperluan asas yang terpaksa dihadapi oleh rakyat negeri itu terutama masalah catuan bekalan air bersih, kutipan sampah tidak teratur dan ancaman penyakit demam denggi.
mb-azmin-selangor-juara-masalah-air-sampah-denggi
“Masalah yang dekat di hati rakyat, yang dihadapi seharian ini telah lama berlaku, tetapi, kenapa sehingga sekarang ia masih lagi membelenggu penduduk di negeri yang paling maju ini?

“Di manakah komitmen mereka menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat?

“Adakah mereka mahu Selangor terus menjuarai carta masalah air, sampah dan denggi?,” soalnya.

Menurutnya lagi, apabila membicarakan isu bekalan air, kerajaan pusat yang memikirkan kepentingan rakyat berbesar hati membantu dengan projek Langat 2 tetapi apa yang kerajaan negeri balas, masih berdolak-dalik seribu alasan.

“Projek 2009 itu jika dilaksanakan dahulu lagi, saya pasti masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi oleh rakyat Selangor mampu diatasi kini.

“Mereka menolak Langat 2, tetapi rakyat pun tidak nampak apa perancangan jangka panjang mereka bagi mengatasi masalah air itu,” tegasnya lagi kepada UMNO-Online.

Beliau turut berkata, masih segar diingatan apabila Menteri Besar (MB) Selangor di dalam membentang Belanjawan 2015 dahulu pernah mengutarakan isu kebersihan amat penting untuk menyelesaikan masalah–masalah yang membelenggu rakyat seperti demam denggi, banjir kilat dan aduan awam berkaitan sampah.

“Tetapi, di manakah kesudahannya jika pengutipan sampah domestik masih tidak tersusun, kadang-kadang mengikut jadual dan kerapnya sering tidak mengikut jadual.

“Dalam web idengue, kes harian denggi di negeri ini pada 28 Jun 2015 sahaja mencatatkan sebanyak 108 kes dan lebih mengejutkan jumlah kes terkumpul dari 4 Jan 2015 hingga 28 Jun 2015 sebanyak 32,592 kes.

“Paling banyak terjejas di Daerah Petaling, diikuti Hulu Langat, Sepang dan termasuk juga Gombak,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, demi kepentingan rakyat, Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensinya juga turut membantu tetapi apa yang menjadi keutamaan adalah segala permasalahan yang berlaku perlulah ditangani dengan sebaiknya oleh Kerajaan Negeri Selangor dan mereka perlulah lebih bertanggungjawab.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
azmin-100-hari-mb-selangor-bekerja

No comments:

Post a Comment