Monday, June 29, 2015
Keputusan Khairul Lepas Jawatan UMNO Keputusan Peribadi – Khaled
27 Jun 2015, Johor Baharu : Keputusan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor Datuk 
Khairul Anwar Rahmat melepaskan semua jawatannya dalam UMNO dilihat 
sebagai tindakan peribadi dan perlu dihormati, kata Pengerusi Badan 
Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengakui yang beliau tidak dimaklumkan mengenai peletakan jawatan 
Khairul, Mohamed Khaled berkata dirinya bersedia untuk bertemu dengan 
Khairul untuk mengetahui sebab sebenar.
“Sebab
 utama saya pun tak tahu, jadi saya tidak hendak ulas (lanjut). Kami 
menghormati keputusannya, mungkin dia ada sebab mengapa dia lakukan,” 
kata beliau kepada pemberita selepas program Ziarah Ramadan di Masjid 
Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.
Menteri Besar Johor itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan 
Khairul, yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), melepaskan 
kesemua jawatannya dalam parti itu bagi menumpukan sepenuh perhatian 
kepada kerja kemasyarakatan dan perluasan operasi syarikatnya berkuat 
kuasa 11 Julai ini, pagi tadi.
Dalam satu kenyataan di sini, Khairul berkata beliau turut melepaskan
 jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dan Ketua Sekretariat
 Perundangan UMNO Malaysia.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri
 Permas berkata UMNO Johor menerima keputusan yang dibuat Majlis 
Tertinggi (MT) UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual
 pada tahun depan kepada selama 18 bulan bagi memberi keutamaan kepada rakyat serta usaha memperkukuh parti itu.
Mohamed Khaled berkata keputusan yang diambil MT adalah bagi 
menumpukan sepenuh perhatian kepada persediaan yang rapi untuk 
memperkukuh parti bagi berhadapan pilihan raya akan datang yang dijangka
 lebih mencabar.
“Antara cabaran yang dihadapi setiap kali musim pemilihan ialah 
perbalahan berterusan serta perpecahan dalam kalangan pemimpin dan 
anggota parti yang akan memberi kesan yang buruk terhadap parti itu 
sendiri.
“Untuk parti berjaya, parti perlu lebih kuat dan untuk kuat, ia perlu
 bersatu padu dan kami perlu elak keadaan parti boleh berpecah,” kata 
beliau.
Terdahulu, Mohamed Khaled melawat lima buah rumah asnaf di Kampung 
Melayu Pandan serta menyampaikan hamper (keperluan makanan sebulan) dan 
duit zakat RM500 daripada UMNO cawangan dan Baitulmal kepada golongan 
asnaf di sini.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment