Sunday, June 28, 2015
Ceramah Perdana Pemimpin Kecewa Dalam PAS Tak Dapat Sambutan
Program ceramah perdana yang membariskan bekas-bekas pemimpin PAS di Temerloh Pahang malam Jumaat tidak mendapat sambutan.
'Perhimpunan Perjuangan Bermula Di Sini' bagi memberi penjelasan
mengenai penubuhan parti baharu oleh pemimpin PAS yang tersingkir pada
muktamar lalu hambar, walaupun hanya tinggal sebulan sebelum parti itu
dilancarkan.
Perhimpunan itu yang menampilkan bekas menteri besar Perak Mohammed
Nizar Jamaluddin, bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia Awang Ahmad,
Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, bekas Setiausaha Pakatan
Rakyat Perak Dr Khairudin Abd Malik dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan
Negeri Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puri itu hanya mampu menarik
perhatian kira-kira 200 orang.
Malah terdapat juga sebilangan pengunjung yang meninggalkan perhimpunan
itu semasa ceramah yang secara amnya 'menzahirkan' kekecewaan kepada
barisan kepimpinan baharu PAS, khususnya terhadap presidennya Datuk Seri
Abdul Hadi Awang.
Bernama melaporkan Ahmad atau lebih dikenali sebagai UAA (Ustaz Awang
Ahmad) dalam PAS berkata beliau tidak nampak bagaimana 'kerosakan' dalam
PAS sekarang boleh dibaiki kerana 'hasil' muktamar kali ke-61 lalu
melahirkan pucuk pimpinan yang sukar untuk berubah.
"Mereka ini duduk sesama mereka dan menamakan diri sebagai ustaz. Saya
rasa semua tahu bahawa pusat (PAS) adalah di Kuala Lumpur, tapi sekarang
adalah di Rusila. Apa sahaja semuanya di Rusila," katanya secara sinis.
Untuk rekod, Abdul Hadi juga adalah Anggota Parlimen Marang dan sering
memberikan ceramah di Masjid Rusila, di Marang, Terengganu.
Tengku Zulpuri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab
daripada parti DAP pula mendakwa PAS adalah punca kepada krisis dalam
Pakatan Rakyat, yang boleh menyebabkan mereka 'berundur 20 tahun ke
belakang'.
Disebabkan itu, beliau yakin parti baharu yang akan menyertai Pakatan
Rakyat 2.0 itu kelak akan mendapat sokongan jitu kerana penyokong mereka
mengharapkan sebuah parti yang bersikap inklusif dan bukan bersikap
eksklusif seperti diamalkan PAS.
Pendapat itu dipersetujui Khairudin yang mengatakan bahawa sikap
eksklusif itu akan menjadi punca kepada kejatuhan PAS, selain perbuatan
memberi gelaran tidak baik kepada ahli yang berani menegur.
"Perbuatan menghina ahli sendiri...menunjukkan contoh yang tidak baik
kepada orang bukan Islam...Adakah ini sebuah parti yang dikatakan
Islam?" soalnya.
Mohammed Nizar pula berkata tindakan PAS akan merugikan masa depan parti
kerana parti itu tidak mungkin dapat memenangi pilihan raya umum lalu
tanpa sokongan masyarakat Cina, dan kaum itu menurutnya telah kehilangan
kepercayaan kepada PAS.
Beliau juga meminta maaf kepada masyarakat Cina kerana "selepas muktamar
PAS, harapan untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN) terus hancur dan
mengguris hati mereka untuk terus menyokong PAS."
"PAS mengambil masa selama 50 tahun untuk mendapatkan keyakinan mereka
(masyarakat Cina). Selepas 2008, mereka semakin sayang kepada PAS. Saya
sendiri di Changkat Jering menang dengan 82 peratus adalah sokongan
masyarakat Cina.
"Muktamar kali ini, pelbagai usul buat orang Cina marah. Mereka kata
tidak akan sokong lagi. Mana saya nak letak muka? Kalau sekarang saya
bertanding, saya juga akan kalah," katanya.
Sehubungan itu, Mohammed Nizar berkata adalah penting sebuah 'kapal'
baharu ditubuhkan untuk terus mendapatkan sokongan rakyat dalam
menewaskan BN pada pilihan raya akan datang.
Meskipun perhimpunan itu kurang mendapat sokongan, Mohammed Nizar
berkata perhimpunan itu juga dapat didengar secara langsung di Pedas FM
yang menurutnya didengar sejuta penduduk.
"Kami telah menjelajah dan orang-orang muda meminta supaya kami
percepatkan penubuhan kapal baharu ini, kerana mereka mahu menjatuhkan
BN. Tapi kami kena ambil sedikit masa dan apabila ada kapal baharu, ini
kekuatan kami untuk menumbangkan BN," katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment