Monday, June 29, 2015
Politik Melayu... Mencari Perpaduan Bukan Penggabungan
Pemimpin parti politik termasuk daripada UMNO dan PAS perlu segera
mencari titik persefahaman antara mereka dalam usaha menyelesaikan
masalah perpaduan dalam kalangan rakyat.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Datuk
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persefahaman antara pemimpin-pemimpin
parti politik berupaya mengukuhkan semangat perpaduan di negara ini.
Beliau berkata, titik persamaan itu akan dapat dicapai dengan mengadakan
pertemuan sesama pemimpin-pemimpin parti politik melalui pelbagai wadah
seperti wacana isu perpaduan.
“Mereka akan dapat mencari persefahaman melalui pertemuan-pertemuan seperti ini (wacana) dan sebagainya.
“Isu perpaduan UMNO, PAS contohnya bukan hanya bercakap dalam kerangka
bergabung semata-mata, namun perpaduan ini lebih besar ertinya daripada
itu (bergabung).
“Perpaduan penting bagi menjamin soal kepentingan negara selain
memastikan rakyat sentiasa hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel Wacana
Perpaduan Nasional bertemakan Mencari Titik Pertemuan Perpaduan Bersama
di salah sebuah hotel di Kota Bharu pada Sabtu.
Turut menjadi panel pada wacana anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu
ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak daripada Barisan Nasional
(BN), Zawawi Othman.
Sementara itu, Nik Abduh berkata, penganjuran wacana perpaduan secara
berterusan dengan melibatkan parti-parti politik disifatkan antara cara
dan kaedah terbaik dalam usaha menyelesaikan masalah perpaduan rakyat.
Beliau berkata, wacana perpaduan seperti itu dengan melibatkan
pemimpin-pemimpin parti politik daripada UMNO, PAS, PKR atau DAP perlu
diadakan dalam usaha memulihkan kembali semangat perpaduan di negara
ini.
“Wacana perpaduan ini perlu dipanjangkan kepada semua parti politik bukan hanya melibat PAS dan UMNO semata-semata.
“Perpaduan PAS dengan UMNO tidak berupaya menyelesaikan masalah perpaduan dalam negara. Ia perlu menyeluruh,” katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment