Monday, April 18, 2016
Adenan Muktamadkan Nama 82 Calon BN, Sudah Bersedia Hadapi PRN
KUCHING : Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah
bersedia menghadapi pilihan raya negeri 7 Mei, selepas memuktamadkan
nama calonnya bagi semua 82 kerusi bagi pilihan raya negeri ke-11, kata
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Adenan yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)
dan Pengerusi BN Sarawak berkata semua isu dalaman seperti calon yang
sesuai dan parti mana yang layak bertanding di kawasan tertentu telahpun
dimuktamadkan hasil perbincangan antara semua parti komponen BN.
“Kami menghadapi pilihan raya negeri sebagai satu pasukan yang
bersatu. Kami telah selesaikan perbezaan pendapat antara kami dan kami
akan hadapi pilihan raya sebagai pasukan bersatu atau anda boleh
panggilnya pasukan Adenan.
“Kini kami akan beri perhatian terhadap pembangkang daripada satu
sama lain,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan tiga lagi
calon BN di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini.
Tiga calon terakhir yang diumumkan Adenan hari ini ialah Ding Kuong
Hiing (Hiing) daripada SUPP untuk bertanding di kerusi Meradong, Datuk Henry @ Harry Anak Jinep (SPDP) di kerusi Tasik Biru dan Datuk Dr Penguang Anak Manggil (SPDP) di kerusi Marudi.
Ditanya kenapa tiga nama terakhir ini mengambil masa yang lama
untuk diputuskan, Adenan berkata ini kerana “semua pesaing adalah
hebat”.
“Sukar untuk membuat keputusan tetapi akhirnya ia telah dibuat,”
katanya sambil menambah kesemua calon BN telah menerima watikah
pelantikan dan menandatangani ‘ikrar kesetiaan’ kepada BN.
Kepada soalan sama ada wujud calon yang tidak berpuas hati dengan
keputusan beliau dalam pemilihan, beliau berkata perkara tersebut juga
telah selesai dan tidak akan timbul lagi dalam pilihan raya negeri
kelak.
Mengenai penggunaan simbol bagi calon langsung BN, Adenan berkata mereka hanya akan menggunakan simbol dacing.
Bagaimanapun, menurutnya bagi parti komponen BN Sarawak yang terdiri
daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak
(PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik
Progresif Sarawak (SPDP), boleh turut menggunakan simbol parti
masing-masing.
Sementara itu, Dr Penguang berkata beliau menjangka akan ada cabaran
di peringkat bawahan dan kawasan kelabu yang memerlukan sokongan dan
kerjasama semua jentera di Marudi.
“Saya akan teruskan dengan apa yang saya lakukan selama ini. Kami
akan perhalusi tempat-tempat kelabu. Saya rasa akan ada cabaran dari
pihak lawan dan kami tidak boleh ambil ringan perkara ini,” katanya
sambil melahirkan perasaan terharu dan berterima kasih atas pemilihannya
sebagai calon.
Henry pula menyifatkan pilihan raya negeri adalah ‘peperangan’ untuk
BN dalam menawan hati rakyat yang memerlukan lebih banyak pembangunan
dan perancangan dari segala sudut.
Beliau berkata BN dan mana-mana calon tidak boleh berpuas hati selagi
belum memenangi pilihan rraya, dan lantaran itu, kerja keras serta
semangat setiakawan perlu diwujudkan bagi mendapatkan kemenangan mutlak
kelak.
“Saya mahukan sokongan semua pihak untuk membantu saya dalam
kempen pilihan raya ini supaya kemenangan BN tercapai (di kerusi Tasik
Biru),” katanya.
Ding pula berkata beliau menyerahkan kepada rakyat di Meradong untuk
menilai sendiri komitmennya sepanjang lapan tahun ini termasuk cuba
membantu menyelesaikan segala isu berbangkit.
“Saya gembira dengan pelantikan (pencalonan) ini dan akan terus
bekerja keras sewaktu kempen nanti. Kami perlu bekerja keras untuk
mendapatkan keyakinan dan mewujudkan peluang untuk memenangi semula
kawasan ini daripada pembangkang (DAP),” katanya yang bertanding di
kawasan Parlimen Sarikei pada pilihan raya umum lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment