Monday, April 18, 2016
Bapa Woo Nina Grace Tidak Boleh Terima Beliau Masuk Islam
Keazaman pelajar Woo Nina Grace untuk memeluk Islam di hadapan
penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik memberi kejutan kepada ibu bapanya
yang tinggal di Pasir Gudang, Johor.
Grace, 19, berkata ibunya yang mengetahui penukaran agamanya melalui
laman sosial dapat menerima pengkhabaran itu namun tidak bagi bapanya.
“Mengenai keluarga saya, ibu bapa memang terkejut apabila mendapat tahu
saya memeluk Islam kerana sebelum ini saya mendalami ajaran Islam
termasuk membaca beberapa surah Al-Quran secara rahsia tanpa pengetahuan
mereka.
“Ibu dan ayah tidak tahu saya ingin memeluk Islam sehinggalah video dan
berita mengenai hal ini tersebar di media dan laman sosial.
“Walaupun terkejut, ibu dapat menerima keputusan yang saya buat ini
tetapi ayah masih belum sedia menerimanya,” katanya seperti dilaporkan
Harian Metro.
Remaja perempuan itu, yang ibunya berasal dari Filipina dan bapanya dari
Johor, mengakui telah mula mengkaji tentang Islam ketika berusia 13
tahun.
Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari sebuah kolej swasta berkata
nama yang sesuai selepas penghijrahannya sudah dipilih namun ia masih
dalam perbincangan.
Katanya, selepas memeluk Islam, dia akan berusaha menuruti segala ajaran agama yang ditetapkan.
“Insya Allah saya akan cuba menjadi seorang muslimah yang baik dengan mengikuti ajaran ditetapkan termasuk berhijab.
“Selepas bergelar seorang Muslim, saya ada beberapa nama Islam untuk
digunakan tetapi lebih berminat kepada Nur Nina Farisha, ia masih dalam
perancangan,” dia dilaporkan berkata.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment