Monday, April 18, 2016

DAP Perlu Belajar Hormati, Akur Arahan Pihak Berkuasa

Seperti yang kita maklum, debat di antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terpaksa dibatalkan atas arahan Ketua Polis Negara dan SPRM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan SPRM terpaksa melarang debat itu berlangsung seperti yang dirancang ekoran skandal yang membabitkan Guan Eng itu sedang dalam siasatan pihak berkuasa. Sekiranya diteruskan, maka ia akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan itu.

Sebenarnya, itu adalah sesuatu prosedur biasa yang berlaku apabila suatu siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa atau membabitkan kes yang sedang berlangsung di mahkamah. Sebarang kenyataan, hujah atau sesuatu yang membabitkan kes yang disiasat akan menjejaskan perjalanan siasatan kes.

Keadaan itu memang normal dan kerana itulah Khalid dan SPRM melarang debat antara Abdul Rahman dan Guan Eng berlangsung.

Sebagai Menteri Kabinet, maka sudah tentulah Abdul Rahman mahu tidak mahu, terpaksa akur pada arahan Ketua Polis Negara dan SPRM. Beliau perlu menunjukkan contoh yang baik pada masyarakat Malaysia supaya belajar menghormati serta akur pada arahan PDRM dan SPRM.

Tapi lain pula halnya dengan DAP. Bila jenis tidak tahu hormat peraturan, undang-undang dan pihak berkuasa, mereka cukup suka tunjuk lagak depan rakyat. Lebih menjijikkan lagi, mereka perlekeh pula menteri yang hormat pada arahan pihak berkuasa.

Loke Siew Fook dan Guan Eng sengaja mendakwa kononnya Abdul Rahman mempergunakan Ketua Polis Negara dan SPRM untuk mengelak debat. Mereka kononnya mahu membayangkan Abdul Rahman sebagai pengecut?

Pada pandangan penulis, tidak timbul isu pengecut atau penakut dalam soal ini. Ia adalah melibatkan autoriti pihak berkuasa yang melarang sesuatu yang pada mereka menjejaskan siasatan kes jenayah yang membabitkan isu rasuah.

Apatah lagi kes berkenaan membabitkan seorang pemimpin politik yang kononnya ‘bersih’ dan selalu menuduh orang lain ‘kotor’, maka sudah tentulah sebarang kenyataan terutama dari mulut Guan Eng mengenai skandal Taman Manggis atau Banglo akan mengganggu siasatan.

Bolehkah DAP belajar untuk menghormati undang-undang dan pihak berkuasa di negara ini? Sampai bila agaknya DAP mahu terus bersikap kurang ajar dan ingkar pada arahan PDRM dan SPRM? Tidakkah DAP boleh tunjuk contoh sikap yang baik pada rakyat?

Pada penulis, adalah lebih baik Guan Eng berdebat dengan Pendakwa Raya di dalam mahkamah nanti sekiranya wujud prima facie untuk mengheret Setiausaha Agung DAP itu ke muka pengadilan. Debat dalam mahkamah lebih praktikal untuk DAP yang kaya dengan peguam, bukan?

Lagipun, tidak usahlah Guan Eng mahupun DAP melenting dan melatah cepat sangat sebab selalunya hanya mereka yang bersalah saja yang bersikap begitu. Sehingga kini, Guan Eng belum didapati bersalah pun. Jadi, apa yang perlu dikecohkan? 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment