Tuesday, April 19, 2016
Jalinan Kerjasama Erat Kerajaan Pusat Dan Negeri Pacu Pembangunan Sarawak
BETONG : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata jalinan kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan
negeri berjaya memacu pembanguan di Sarawak.
Beliau mengambil contoh penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar
(RTC) Sarawak Betong yang dirasmikan beliau hari ini, adalah bukti
daripada kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri yang
memanfaatkan semua.
Katanya menerusi inisiatif RTC ini, pelbagai kementerian, jabatan dan
agensi kerajaan pusat serta negeri dihimpunkan di bawah satu bumbung
untuk menawarkan perkhidmatan kepada penduduk tempatan sekali gus
membawa limpahan pembangunan yang pesat di kawasan berkenaan.
“Apabila kerajaan negeri dan pusat berada dalam satu keluarga
(keluarga Barisan Nasional) maka, banyak kemungkinan yang sebelum ini
tidak dapat kita fikirkan tetapi kini dapat dilaksanakan.
Perjalanan
kita (kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak) sudah begitu jauh
sekali,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian RTC Betong di
Mid-Layar, dekat sini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu,
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah
Embas.
Najib berkata sebagai ‘Apai besar’ (ketua/peneraju) Malaysia, beliau
mahu melaksanakan satu lagi agenda penting untuk rakyat Sarawak iaitu
meningkatkan pendapatan penduduk di negeri ini.
“Sebagai apai besar Malaysia, ada satu perkara yang belum lagi dapat
saya tunaikan iaitu meletakkan Sarawak dari segi pembangunan dan
pendapatan rakyat ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ seperti di
Semenanjung Malaysia.Ini adalah agenda saya letakkan sebagai
keutamanan,” katanya.
Sementara itu, Najib yang dalam rangka lawatan kerja ke-50 di
Sarawak, sejak menjawat jawatan Perdana Menteri sekitar enam tahun lalu
berkata, pembangunan harus berpaksikan kepada keadilan sosial, mengambil
kira pembangunan yang seimbang di bandar dan luar bandar.
“Pembangunan tidak harus tertumpu di bandar sahaja tetapi ia mesti
menular dan merangkumi luar bandar. Sebagai sebuah kerajaan prihatin,
kita terhutang budi kepada masyarakat luar bandar yang sentiasa menjadi
penyokong tegar dan kuat kepada kerajaan BN, berbaloi untuk kerajaan BN
berbelanja untuk pembangunan di luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata RTC Betong yang terletak
bersebelahan dengan Lebuhraya Pan Borneo akan memberi kemudahan kepada
pengguna lebuhraya di samping memberi manfaat kepada penduduk tempatan,
selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar.
“RTC ini akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya
menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan
ekonomi serta mengalakkan generasi muda terus tinggal dan membangunkan
kawasan luar bandar,” katanya.
Ismail Sabri berkata sehingga kini, Kementerian Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah berjaya mewujudkan sembilan RTC di seluruh negara, iaitu RTC
Perak, RTC Kelantan, RTC Pahang, RTC Johor, RTC Kedah, RTC Terengganu,
RTC Melaka dan dua RTC di Sarawak.
“Dua RTC lagi iaitu di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sedang
dalam pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan
tahun ini.
“Kementerian juga sedang mengenal pasti lokasi baharu yang berpotensi
di Sabah dan Selangor untuk dibangunkan RTC,” kata Ismail Sabri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment