Monday, April 25, 2016

#PRNSarawak : Polis Pantau Media Sosial, Blog Semasa PRN Sarawak Ke-11

http://www.kitaikini.com/pictures/1810_Semasa_PRN-Sarawak.jpg
Polis Sarawak akan memperketatkan langkah keselamatan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 termasuk pemantauan terhadap media sosial bagi mengelakkan elemen negatif menganggu ketenteraman awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar M. M. Sree Shunmugam berkata pemantauan ini melibatkan komentar serta komen yang ditulis oleh blogger dan pengguna internet dalam media sosial.

“Kita akan ambil tindakan sekiranya tindakan mereka boleh menjejaskan keselamatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan anggota polis pelbagai pangkat dari JSJ di Lapangan Terbang Miri hari ini, bagi membantu mengawal keselamatan semasa PRN ke-11.

Dev Kumar berkata polis akan turut memantau sesi ceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya terutamanya kandungan ucapan penceramah.

Beliau memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan pada masa ini adalah terkawal dan keadaan sedemikian akan dipastikan berterusan sepanjang pilihan raya negeri kali ini.

“Kita jangka PRN ke-11 akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Seramai 253 anggota polis JSJ akan tiba di Sarawak secara berperingkat-peringkat hari ini dan akan ditempatkan di Sibu, Bintulu, Miri dan Lawas.

Beliau berkata secara keseluruhannya seramai 1,162 anggota polis dari JSJ ditugaskan untuk menyiasat kesalahan pilihan raya pada kali ini.

“Dari jumlah tersebut seramai 555 anggota adalah dari Semenanjung,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 25 April depan sebagai tarikh penamaan calon dan 7 Mei sebagai hari pengundian.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment