Monday, March 09, 2015

Agong Gesa Rakyat Waspada Propaganda Kumpulan Militan

TUANKU ABDUL HALIM MUA'ADZAM SHAH

9 Mac 2015 : Yang di-pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah meminta rakyat berwaspada dengan propaganda kumpulan militan agar tidak terpedaya menyalahgunakan konsep jihad atas nama Islam.

Seri Paduka bertitah mereka perlu sentiasa mengawasi anggota keluarga masing-masing serta bersama-sama menghayati ajaran Islam sebenar.

“Beta menyambut baik usaha berterusan untuk memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya menangani ancaman pengganas di Sabah dan membendung penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat seperti militan Islamic State (IS).

“Lanjutan daripada pembentangan Kertas Putih berhubung ancaman militan, kerajaan juga bercadang mewujudkan undang-undang berhubung antikeganasan,” titah Seri Paduka ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-13 di sini Isnin.

Seri Paduka turut menggesa semua anggota Parlimen menjadikan mesyuarat Parlimen ini sebagai waktu terbaik untuk membuka lembaran baharu dengan niat dan tekad yang positif setelah negara mengharungi pelbagai cabaran serta dugaan sepanjang 2014.

Sepanjang tahun lepas, negara diuji dengan beberapa peristiwa yang tidak diduga seperti tragedi melibatkan pesawat MH370 dan MH17 milik Malaysia Airlines serta bencana banjir besar luar biasa di beberapa negeri.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong sama berduka dan berdoa supaya anggota keluarga mangsa tragedi pesawat tersebut mendapat ketenangan dan memperoleh penyelesaian terbaik,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka berdua juga berdoa supaya mangsa banjir tabah menghadapi ujian.
“Beta berharap segala ujian yang ditempuhi lebih menguatkan Malaysia sebagai satu negara bangsa yang berdaulat demi masa depan yang lebih sejahtera,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim berharap proses bantuan dan pemulihan semula infrastruktur di kawasan terlibat banjir dapat dilaksana dengan segera termasuk pembinaan rumah kekal dan pembaikan rumah yang rosak teruk akibat musibah itu.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan penghargaan kepada semua yang telah menunjukkan semangat kesukarelawan yang tinggi dan menyumbang bantuan kepada mangsa banjir.

Titah Tuanku Abdul Halim, kerajaan persekutuan dan negeri serta semua pihak di peringkat akar umbi wajar sentiasa bersiap sedia dalam pengurusan bencana untuk bersama menghadapi apa jua musibah yang mendatang dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah menasihatkan golongan yang gemar mengadu-domba dan menyebar fitnah dalam kalangan masyarakat termasuk di media sosial supaya menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Titah Seri Paduka, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan bagi memastikan keharmonian dan kerukunan hidup antara rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya di negara ini terpelihara.

Tuanku Abdul Halim turut bertitah menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoal manakala agama lain bebas diamalkan.

Seri Paduka turut menekankan bahawa konsep kebebasan bersuara hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawab tanpa menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat.

Selain itu, Seri Paduka bertitah anggota Parlimen perlu sentiasa menunjukkan teladan terbaik kepada rakyat dalam memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Hayati titah Beta ini dan berbahaslah secara berhemah dan tertib di Dewan yang mulia ini,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Menyentuh aspek pembangunan negara, Seri Paduka menzahirkan rasa syukur kerana pelbagai usaha meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda penting kerajaan dalam memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati segenap lapisan rakyat dengan saksama.

Ini termasuk pelaksanaan banyak projek pembangunan, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan pengangkutan awam serta program khusus untuk memperkukuh institusi kekeluargaan.
Ia turut menjurus kepada usaha membantu warga emas dan golongan kurang upaya untuk mengoptimumkan potensi diri.

Dipetik daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment