Monday, March 09, 2015

Fahami Pengertian Sebenar Jihad – Mufti Kedah

militan_syria

9 Mac 2015 : Umat Islam perlu memahami pengertian sebenar jihad di dalam agama kerana ia tidak hanya terbatas kepada tindakan mengangkat senjata dan berjuang di medan peperangan, sebagaimana dilakukan oleh segelintir rakyat negara ini yang terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan di Syria.

Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, pengertian jihad di dalam Islam adalah amat luas meliputi pelbagai perkara di dalam kehidupan umatnya termasuk tentang akhlak.

“Masyarakat Islam (di Malaysia) perlu mengambil ajaran Islam itu daripada sumber-sumber yang sebenarnya, jangan hanya berlandaskan kepada (sumber) YouTube atau Facebook.

“Jihad jikalau tidak diambil di dalam pengertian yang betul, akan menjadi jahat. Jihad biarlah di dalam bentuk yang mengikut landasan Islam,” katanya kepada Bernama ketika Multaqa Imam, Guru Takmir, Guru Kafa dan Jawatankuasa Masjid Negeri Kedah yang berakhir baru-baru ini.

Pada ketika ini dianggarkan 61 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria termasuk 10 wanita, sementara mereka yang ditahan kerana menyertai kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) mencecah 71.

Ada antara mereka yang pergi ke Syria dengan tujuan untuk berjihad termasuk anak-anak muda berasal dari Kedah, sebagaimana didedahkan oleh polis baru-baru ini.

Anak-anak Kedah yang dikesan sedang berada di Syria ketika ini termasuklah seorang pemuda berusia 20 tahun yang berasal dari Gurun dan seorang wanita berusia 26 tahun dari Baling yang mengikuti suaminya ke negara bergolak itu. 

Dipetik daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment