Sunday, March 08, 2015

Pengurusan Hutan di Kelantan Paling Teruk di Malaysia

image 

9 Mac 2015 : Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pi­­haknya le­bih mempercayai penilaian dilakukan oleh agensi kerajaan yang sehingga kini tidak pernah melaporkan Kelantan memegang rekod se­bagaimana didakwa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli negeri berkata, kerajaan negeri juga pernah menerima sijil pengiktirafan mengenai keberkesanan pihaknya menguruskan balak dan hutan.

“Saya tidak tahulah tentang dakwaan penyelidik itu tetapi kita bergantung kepada laporan agensi dan setakat ini laporan agensi tidak meletakkan Kelantan teruk daripada segi pengurusan balak, bahkan kita dapat sijil seperti pernah dijelaskan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini.

“Kita bergantung ke­pada laporan agensi dan badan-badan yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Seorang penyelidik Sahabat Alam Sekitar (SAM) dilaporkan mendakwa Kelantan merupakan ne­geri yang paling teruk dalam aspek pengurusan hutan.

Penyelidik tersebut, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, keluasan hutan simpan kekal yang ditebang di negeri ini untuk dijadikan hutan ladang adalah yang terbesar di Malaysia.

“Kita bekukan untuk hutan simpan tetapi memang ada lesen pembalakan diberikan kepada projek perladangan. Orang nak buat ladang contohnya kelapa sawit dan getah, dia mesti tebang kayu, jadi yang itu memerlukan lesen juga.

“Bagaimanapun, lesen pembalakan biasa untuk ambil kayu semata-mata kita sudah bekukan di kawasan hutan simpan dari zaman bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi,” katanya.

Ditanya mengenai gesaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) pada Forum Media Khazanah Alam semalam yang mahu kerajaan membekukan semua lesen konsesi pembalakan di seluruh negara, Mohd. Amar berkata, apa yang lebih utama adalah kawalan kerana banyak negeri bergantung kepada hasil balak.

Beliau berkata, cadangan itu perlu dirujuk kepada Majlis Tanah Negara yang bertanggungjawab memutuskan sebarang dasar berkaitan perhutanan negara.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment