Monday, April 25, 2016
Ingat Pihak Berkuasa Semuanya Makan Rasuah.... SPRM Kelantan Tahan Lelaki Bangladesh Cuba Rasuah Polis
KOTA BHARU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan
menahan seorang lelaki warga Bangladesh selepas cuba menyogok seorang
pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala
Krai, Jumaat lepas.
Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Shamsudin Yusof berkata lelaki berumur
lingkungan 30-an itu menawarkan sejumlah RM400 kepada pegawai polis
berkenaan bagi membebaskan dua rakannya yang ditahan pasukan keselamatan
pada hari sama.
"Berikutan itu, pegawai polis berkenaan kemudiannya menangkap lelaki
warga asing tersebut sebelum menyerahkannya kepada SPRM untuk tindakan
lanjut.
"Suspek akan didakwa di mahkamah selepas SPRM menyiapkan kertas pertuduhan terhadapnya," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.
Dalam pada itu, Moh Shamsudin turut memuji tindakan pegawai polis
berkenaan dan wajar dijadikan contoh oleh semua kakitangan kerajaan.
"Moga tindakan murni ini menjadi pengajaran kepada kita semua bagi
memastikan tiada gejala rasuah dalam kalangan kita semua," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata dua kontraktor yang ditahan SPRM
baru-baru ini yang dipercayai terlibat dalam tuntutan palsu berjumlah
antara RM170,000 hingga RM380,000, dibebaskan dengan jaminan agensi itu,
Khamis lalu.
Katanya SPRM sedang melengkapkan siasatan dengan beberapa lagi saksi mungkin akan dipanggil untuk diambil keterangan.
Selasa lepas, Moh Shamsudin berkata agensi itu menahan dua lelaki
berumur lingkungan 30-an kerana disyaki mengemukakan laporan tawaran
kerja palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment