Monday, April 25, 2016

Jangan Gugat Keharmonian Di Sarawak Semasa Pilihanraya – Abang Johari

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/02/Abang-Johari-Tun-Openg.jpg
KUCHING : Suasana harmoni di Sarawak kini tidak harus digugat oleh sesiapa yang datang dari luar negeri ini semasa kempen pilihan raya, kata Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata setiap tindakan kerajaan negeri khususnya dalam melaksanakan proses penurunan kuasa termasuk berhubung aspek Imigresen, tidak harus dipersoalkan kerana ia adalah tanggungjawab bagi memastikan Sarawak kekal menjadi negeri yang aman sepanjang masa.

“Kalau niat yang baik (untuk masuk ke Sarawak), kita buka (benarkan). Silaturahim itu ada. Kalau niat tak baik, kita tutuplah,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di Dewan Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan negeri, berkata Kuching sebagai ibu negeri Sarawak telah diiktiraf sebagai Bandar Raya Perpaduan berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Yayasan 1Malaysia (Y1M).

“Panel (Y1M) telah menjelajah seluruh Malaysia dan berkata jika mahu melihat model perpaduan, Sarawak dan Kuching terutamanya. Mereka isytihar Kuching sebagai bandar raya perpaduan di Malaysia. Kalau kita dah harmoni, kita baik, keluarga kita baik, jadi kita tidak mahu orang kacau,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan pembangkang menggunakan faktor usia beliau sebagai isu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini, Abang Johari, 66, berkata keberkesanan mewakili kawasan tidak bergantung kepada usia seseorang wakil rakyat, namun keupayaannya menggandingkan kumpulan terpelajar yang ada di kawasan itu.

Beliau percaya pengundi di kawasan DUN Satok tidak akan mudah terpedaya seperti yang dilakukan pembangkang pada pilihan raya sebelum ini.

“Muda, tua tidak jadi masalah… kita (dalam BN) pun banyak orang muda. Orang muda serta profesional, mereka membantu saya. Sebenarnya kejayaan Satok adalah kerana kumpulan terpelajar menyokong kita, mereka (memberi) banyak input,” katanya.

PRN kali ini adalah kelapan bagi Abang Johari, yang akan dicabar Timbalan Angkatan Muda Keadilan PKR Sarawak, Mohammad Salleh Shawkatali, 35.

Kawasan Satok yang majoriti kaum Melayu-Melanau mempunyai 13,550 pengundi.

Pada PRN 2011, Abang Johari memenangi kerusi DUN Satok dengan majoriti 2,800 undi, setelah menewaskan calon PKR, Ahmad Nazib Johari.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment