Tuesday, April 26, 2016

Kerajaan Giatkan Siri Perbincangan Harmoni Standard Dan Harga Rumah Mampu Milik

http://mykuasa.org/sites/default/files/pledge_photo/rumah-mampu-milik5.jpg
PUTRAJAYA : Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan dua siri perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri berkaitan usaha mengharmonikan standard dan harga rumah mampu milik di seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata siri perbincangan itu, yang dilaksanakan melalui mesyuarat jawatankuasa bersama exco-exco perumahan negeri, akan dipergiatkan lagi.

“Syor (hasil daripada siri perbincangan) selanjutnya akan dibawa untuk persetujuan Majlis Perumahan Negara sebelum diumumkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Merujuk laporan kajian yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) tentang kemampuan pemilikan rumah di negara ini, Abdul Rahman berkata kementerian menyambut baik kajian itu dan menyeru pemaju perumahan dan agensi perumahan lain supaya menjadikannya sebagai panduan dalam pembinaan perumahan.

Menurut laporan akhbar hari ini, BNM mendapati harga rumah mampu dibeli rakyat Malaysia adalah RM356,803 dengan purata bayaran balik pinjaman bulanan RM1,550, yang lebih rendah berbanding definisi kediaman mampu milik oleh pemaju, ejen hartanah iaitu RM500,000.

Kajian BNM juga mendapati selepas pendapatan bersih ditolak belanja dan simpanan, Kumpulan B40 hanya mampu membeli rumah dalam lingkungan RM50,000 dengan bayaran balik pinjaman RM217 sebulan manakala Kumpulan M40 umumnya mempunyai kemampuan membeli rumah pada harga maksimum RM265,100 dengan bayaran balik pinjaman bulanan RM1,151.

Abdul Rahman dalam pada itu berkata kerajaan melalui Majlis Perumahan Negara dan beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan sentiasa berbincang bagi memastikan industri perumahan kekal kompetitif dengan harga rumah yang mampu dimiliki dan stabil serta selesa untuk didiami.

“Di peringkat Persekutuan, kerajaan melalui pelbagai agensi akan meneruskan pembinaan rumah mampu milik secara berfokus bagi pelbagai lapisan rakyat,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment