Tuesday, April 26, 2016
Ingati Dan Contohi Nilai Kepimpinan Tun Ghafar Baba – Najib
MELAKA : Anggota UMNO perlu mengingati dan mencontohi nilai
ketaatan, kesetiaan dan ketulenan kepimpinan bekas timbalan perdana
menteri Tun Abdul Ghafar Baba, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Presiden UMNO itu berkata Abdul Ghafar menunjukkan ketaatan kepada
pemimpin, kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada UMNO dan ketulenan
manifestasi prinsip perjuangan UMNO.
“Saya cuba nak tanya apakah sebenarnya bila kita adakan majlis
seperti ini, apakah signifikannya, signifikannya dua (iaitu) satu kita
peringati tokoh negarawan, politik, pemimpin kita sanjung tinggi dan
kedua, kita cuba untuk peringati nilai-nilai kepemimpinannya.
“Saya tanya pada diri saya apa nilai Encik Ghafar kepada kita
terutama kepada kita generasi ini, saya simpulkan satu ketaatan, kedua
kesetiaan, ketiga ketulenan … itulah Encik Ghafar kepada UMNO dan kita
semua,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Bacaan
Tahlil dan Doa Sempena 10 Tahun Pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar
Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, di sini, hari ini.
Tun Abdul Ghafar yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan
menjadi timbalan perdana menteri dari 10 Mei 1986 hingga 15 Okt 1993 dan
juga Ketua Menteri Melaka dari 1 Jun 1959 hingga 5 Okt 1967.
Hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd
Khalil Yaakob, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas
Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, Yang Dipertua Dewan Negara Tan
Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul
Aziz, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Anggota
Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan anak Abdul Ghafar iaitu
Datuk Mohd Tamrin.
Najib berkata semua anggota UMNO juga perlu mengingati pesanan
pemimpin terdahulu yang mahukan generasi sekarang memikul tanggungjawab
mempertahankan parti keramat orang Melayu itu dan bukannya meninggalkan
atau mengkhianati parti.
“Mereka (pemimpin terdahulu) walaupun (sudah) tidak lagi bersama
kita, mereka berkehendakkan kita mempertahan UMNO, menegakkan UMNO
…kerana selagi ada UMNO perjuangan boleh diteruskan, tanpa UMNO
berkuburlah segala-galanya, macam Encik Ghafar kata ‘tiada UMNO, tiada
barisan hancur segala-galanya’,” katanya.
Beliau berkata sekiranya terdapat perbezaan dalam kalangan anggota
UMNO, jalan permuafakatan mesti dicari yang akhirnya dapat bercantum dan
menyatukan UMNO di bawah satu barisan.
Najib berkata Abdul Ghafar merupakan seorang tokoh yang menjadi
simbol kepada perjuangan UMNO sehingga ke hari ini apabila langsung
tidak memandang jawatan sebagai perkara penting dalam perjuangannya.
“Encik Ghafar tidak pernah marah, tidak pernah merajuk (jika) tidak
dilantik timbalan perdana menteri pun, itu bukan wadah perjuangan beliau
… beliau kata jawatan tidak penting, UMNOlah segala-galanya, jagalah
UMNO,” katanya.
Beliau berkata Abdul Ghafar amat cemerlang dalam politik akar umbi
dan sentiasa berdampingan serta mengetahui isu-isu berkaitan rakyat atau
dalam istilah bahasa Inggerisnya ‘man of the people’.
“Encik Ghafar kalau mesyuarat lama-lama tak boleh, saya masih ingat
lagi bila beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet sebagai Timbalan
Perdana Menteri kurang satu jam sudah habis (mesyuarat) tetapi Encik
Ghafar lebih kepada ‘man of the people’,” katanya.
Najib berkata beliau memilih untuk hadir pada majlis itu bukan
sebagai Perdana Menteri atau Presiden UMNO, sebaliknya hadir kerana
Abdul Ghafar.
“Allahyarham tidak boleh dipisahkan dengan perjuangan UMNO, tidak
boleh dipisahkan dengan keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak (bekas
Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, juga ayahanda Najib) dan saya
sendiri secara peribadi,” katanya.
Sementara itu, beliau mahu Memorial Tun Abdul Ghafar Baba dibina
semula di tapak sama bagi memperingati dan menjadikan perjuangan Abdul
Ghafar sebagai panduan generasi masa kini, dan bersedia memberikan
peruntukan untuk melaksanakan projek itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment