Tuesday, April 26, 2016
RTC Bukti Kerajaan Tidak Pinggir Masyarakat Luar Bandar – Ahmad Zahid
DUNGUN : Kewujudan 10 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)
di seluruh negara membuktikan kerajaan tidak meminggirkan masyarakat
luar bandar dalam arus pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha melakukan perimbangan dari
segi pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat sama ada di bandar
mahupun luar bandar.
“Di luar bandar adalah pusat kuasa rakyat … di mana orang luar Bandar
menjadi pendukung utama kerajaan yang ada hari ini, ertinya kerajaan
tidak melupakan orang luar bandar.
“Ertinya kewujudan RTC ini juga sebahagian daripada transformasi
membandarkan kawasan-kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap
melancarkan RTC Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini,
hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd
Rahman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Bangunan RTC Terengganu terdiri dua blok mengandungi 36 unit mula
digunakan pada 1 Sept 2014. Antara jabatan dan agensi kerajaan yang
menyediakan perkhidmatan ialah Jabatan Imigresen; Jabatan Perkhidmatan
Veterinar; Yayasan Pembangunan Usahawan dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Ahmad Zahid berkata penubuhan RTC melalui Strategi Lautan Biru
Kebangsaan (NBOS) mengambil kira apa yang diperlukan rakyat di peringkat
akar umbi, menjadikannya amat relevan dalam kehidupan masyarakat luar
bandar.
Beliau berkata RTC bukan hanya membawa pembangunan fizikal malah
membuka minda masyarakat luar bandar khususnya dalam mendapatkan ilmu
dan kemahiran melalui konsep satu hentian pelbagai perkhidmatan yang
disediakan.
Justeru, beliau berkata rakyat perlu menilai segala pembangunan dan
perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam memudahkan urusan harian
serta menaik taraf hidup mereka.
“Tidak ada makna kalau ada pembangunan fizikal tetapi tidak ada rasa
penghargaan dalam kalangan mereka yang menerima segala bantuan ataupun
sumbangan yang diberikan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata RTC Terengganu menampilkan
keistimewaan tersendiri apabila menawarkan pusat hemodialisis dan pusat
rehabilitasi dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Katanya ia merupakan perkhidmatan yang amat diperlukan oleh penduduk
sekitar yang sebelum ini terpaksa mendapatkan perkhidmatan itu di
bandar-bandar besar berdekatan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment