Friday, April 01, 2016
Selepas Dua Tahun... Misteri MH370 Semakin Terungkai
Dua tahun selepas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang
bersama 239 penumpang serta anak kapal dan di sebalik penemuan beberapa
bahagian kapal terbang yang ada kaitan dengan Boeing 777 itu, apakah
kita semakin hampir merungkai misteri kehilangannya?
Mungkin penemuan serpihan pesawat memberi sedikit harapan untuk
merungkai misteri pesawat MH370 yang hilang sejak pertengahan tahun
2015.
Ianya bermula dengan penemuan sekeping bahagian sayap pesawat di pantai
French Reunion Island di Lautan Hindi pada 29 Julai 2015.
Penyiasat Perancis mengesahkan bahawa serpihan itu, 'flaperon' secara
rasminya dikenal pasti kepunyaan Boeing 777 yang hilang. Pada lewat
Februari 2016, seorang peguam Amerika, Blaine Gibson menemui sekeping
lagi serpihan dipercayai daripada pesawat itu di Mozambique.
Penemuan Gibson mendorong seorang remaja Afrika Selatan, Liam Lotter,
18, tampil dengan sekeping serpihan yang juga ditemuinya di Mozambique
pada bulan Disember 2015.
Kedua-dua serpihan itu dihantar ke Australia untuk dikaji oleh
Geoscience Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB)
di premis mereka di Canberra.
Pada 24 Mac, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengeluarkan kenyataan
bahawa kedua-dua serpihan yang dijumpai di Mozambique itu hampir pasti
daripada pesawat yang hilang.
Terkini, sekeping lagi serpihan dijumpai pada Isnin (28 Mac) di Afrika
Selatan, dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.
TERUSKAN PENCARIAN DI SELATAN LAUTAN HINDI
Bekas Ketua juruterbang MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain apabila
ditanya Bernama mengenai penemuan serpihan pesawat itu berkata penemuan
itu menunjukkan pencarian perlu diteruskan di selatan Lautan Hindi.
"Penemuan serpihan selaras dengan model hanyutan dan sehingga ada
maklumat baru yang mungkin menunjukkan di mana pesawat itu berakhir,
pencarian perlu diteruskan di kawasan yang dibuat sekarang," tambahnya.
Nik Huzlan berharap pihak berkuasa akan melaksanakan kaedah yang lebih berkesan untuk mencari serpihan pesawat di kawasan itu.
Beliau mencadangkan pihak berkuasa mencatat serta mengenal pasti
bahagian rangka pesawat yang boleh terapung, katalog serta mengambil
gambar atau membuat grafik jelas serta taburan gambar di laman sesawang
supaya mudah untuk orang memahaminya.
"Kemungkinan orang awam menemui dan mengabaikan kepingan serpihan amat
tinggi kerana mereka tidak sedar ianya bahagian pesawat. "Ini jelas
dalam kes remaja Afrika Selatan yang bercuti dengan keluarganya di
Mozambique," katanya.
APA TANDA PENEMUAN?
Penemuan lebih banyak serpihan yang hampir pasti bahagian pesawat yang
hilang menimbulkan persoalan apa yang berlaku ke atas kapal terbang itu
sekarang?
Nik Huzlan menyatakan kebanyakan serpihan yang ditemui adalah dari
rangka luar tetapi tidak ada yang datang dari bahagian dalam pesawat.
"Komponen luar kebanyakannya berat tetapi ada bahagian yang boleh
terapung. Serpihan yang ditemui mempunyai paras mengapung yang tertentu
dan ini membolehkan arus lautan membawanya jauh ke tempat di mana ia
ditemui.
"Banyak bahagian sudah terdampar dan bertaburan di pinggir pantai dan hanya menunggu untuk ditemui.
"Banyak serpihan mungkin sudah sampai sehingga ke barat daya pinggir
pantai Sumatra, Sri Lanka, Maldives, Diego Garcia, Madagascar dan pantai
timur Afrika," jelasnya sambil menambah terdapat juga banyak pulau
kecil dan atol yang mungkin memerangkap serpihan.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur,
Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berpendapat penemuan serpihan di
kawasan yang berbeza menunjukkan beberapa bahagian kapal terbang mungkin
bersepai sewaktu pesawat menyentuh air.
Malahan jika kapal terbang mendarat menyerong atau dalam lingkungan
kelajuan meluncur, masih ada kecenderungan untuk beberapa bahagian (di
ekor atau sayap) terputus dari fiuslaj.
"Bahagian ini mempunyai paras mengapung yang tinggi dan untuk boleh
terapung berbatu-batu dari kawasan utama pesawat terhempas sementara
fiuslajnya tenggelam dan tinggal di dasar laut akibat berat dan kurang
daya mengapung," katanya.
Beliau juga bersetuju dengan Kapt Nik Huzlan bahawa lebih banyak
serpihan akan ditemui di pantai timur Afrika selaras dengan bentuk
hanyutan.
TAMBAH RANTAU AFRIKA DALAM MISI MENCARI
Mohd Harridon mencadangkan pasukan pencari perlu juga membuka tender
kepada organisasi lain untuk memeriksa kawasan sekitar rantau Afrika
supaya ada lebih banyak peluang menemui serpihan dari MH370.
Langkah ini, kata beliau akan mewujudkan satu lagi lokasi pencarian
sebagai tambahan kepada kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi.
"Tender juga perlu dibuka kepada institusi akademi dan pihak ini akan
diberi peranan untuk menghasilkan persamaan matematik (mathematical
equation) yang menyeluruh.
"Ini akan mengambil kira semua data yang kita ada sekarang dan
mengkajinya untuk memperkemaskan lagi pencarian di selatan Lautan Hindi.
"Matematik adalah bahasa sains dan boleh menjelaskan fenomena yang
kompleks dan beberapa organisasi di dunia, sebagai contoh Jabatan
Jenayah di Amerika Syarikat menggunakan matematik untuk menyelesaikan
misteri jenayah yang rumit," katanya.
Pesawat MH370 dengan 239 orang di dalamnya hilang dari radar sewaktu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Pada masa ini, usaha pencarian dijalankan di selatan Lautan Hindi di mana penerbangan MH370 dipercayai berakhir.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment