Monday, March 09, 2015
Cukuplah Buat Bising Tentang 1MDB – Dr Najmil
10 Mac 2015 : Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk
Dr. Najmil Mohamed Aris berkata, pembangkang tidak perlu lagi membuat
bising berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memandangkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun memberikan lampu
hijau kepada Jabatan Audit Negara untuk memeriksa akaun syarikat
tersebut bagi memastikan apakah benar wujud penyelewengan seperti yang
didakwa oleh pembangkang.
Kata Najmil, bukan sekadar Jabatan Audit Negara sahaja, malah
Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai oleh wakil
pembangkang juga akan turut diberi ruang untuk memeriksa akaun kewangan
syarikat tersebut.
“Perdana Menteri telah memperlihatkan keterbukaannya di mana tiada
apa yang mahu disorokkan dalam isu 1MDB ini. 1MDB telah pun diaudit oleh
sebuah syarikat swasta sebelum ini dan kini jabatan audit negara dan
laporan audit itu akan diserahkan kepada PAC untuk penelitian lanjut.
“Tindakan PM ini jelas membuktikan bahawa kerajaan benar-benar telus dalam hal ini dan tiada apa yang mahu disorokkan.
“Bahkan, sekiranya berlakunya penyelewengan maka PM telah memberi
amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang
terlibat,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Justeru itu, beliau menyarankan kepada pihak pembangkang agar
berhenti menyebarkan fakta-fakta yang belum dipastikan sahih dan benar
kerana ianya boleh menggangu segala pemeriksaan dan siasatan yang
dilakukan oleh Jabatan Audit Negara dan juga PAC.
“Cukup-cukuplah pihak pembangkang buat bising dan menyebarkan
maklumat yang belum dipastikan kesahihannya dalam isu ini. Tindakan
pembangkang itu bukan sahaja tidak membantu, bahkan akan membuatkan
tugas memeriksa akaun syarikat ini terganggu.
“Jadi adalah lebih baik pembangkang tunggu dan lihat apa keputusan
jabatan audit negara dan juga PAC yang turut akan melakukan audit
terhadap syarikat tersebut. Biarpun pihak yang diberikan tanggungjawab
melakukan kerja mereka dan kita lihat apa hasilnya nanti,” ujarnya.
Najib baru-baru ini telah mengarahkan ketua jabatan audit negara
untuk menjalankan pemeriksaan terhadap akaun syarikat tersebut apabila
syarikat tersebut menjadi sasaran serangan pihak pembangkang yang
mendakwa berlaku ketirisan dan penyelewengan yang melibatkan berbilion
ringgit di dalam syarikat tersebut.
Malah, Najib juga telah memfailkan saman di atas kapasiti peribadi
terhadap seorang pemimpin pakatan pembangkang, Tony Pua dan seorang
rakannya berikutan dakwaan berunsurkan fitnah yang dilemparkan oleh
pemimpin pembangkang tersebut berhubung isu 1MDB.
Dipetik daripada sumber : UMNO Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment