Monday, March 02, 2015

Parlimen Tidak Terima Jawapan Anwar Hadir Atau Tidak

3 Mac 2015 : Sehingga hari ini, Dewan Rakyat tidak menerima jawapan daripada Ketua Pembangkang sama ada dapat hadir atau tidak apabila persidangan bermula 9 Mac nanti.

Surat jemputan telah dikeluarkan 12 Februari lalu dan ketika itu Anwar masih dalam tempoh 2 minggu dari tarikh dijatuhkan hukuman serta dalam tempoh mengemukakan petisyen pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong .

Jemputan itu hanya sebagai mengikut prosedur jemputan rasmi biasa kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunggu pengampunan.

Menurut Jurucakap Parlimen mengikut peraturan, Anwar perlu menjawab kehadirannya sehingga 27 Februari lalu.

Bagaimanapun katanya, ada juga Ahli Parlimen lain yang lambat menghantar jawapan sehingga sehari sebelum persidangan.

Bagaimanapun Abdul Malek Husin selaku Ketua Urusetia Pejabat Ketua Pembangkang telah menyerahkan maklum balas jemputan mewakili Anwar untuk menghadiri persidangan Parlimen.

Malah Ketua Whip, Ahli Parlimen PKR Datuk Johari Abdul juga memaklumkan PR akan membuat tindakan lanjut untuk berbincang sama ada ada perlantikan Ketua Pembangkang perlu dibuat ataupun tidak jika Anwar dihalang untuk hadir ke Parlimen.

Pada 12 Februari lalu, Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah mengeluarkan kenyataan pihaknya mengambil maklum penghakiman Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman 5 tahun penjara atas sabitan kes liwat Anwar terhadap pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau juga sedia maklum Ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh memfailkan petisyen pengampunan kepada Yang di Pertuan Agong  dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Sehubungan itu, pihaknya telah menetapkan kelayakan Anwar selaku Ahli Parlimen hanya akan hilang berkuatkuasa sebaik sahaja petisyen itu diputuskan sebagaimana peruntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang pemberitahuan akan dilakukan selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja Anwar hilang kelayakkan sebagai Ahli Parlimen mula berkuatkuasa mengikut peruntukkan itu.

Keluarga Anwar telah menghantar petisyen 24 Februari lalu iaitu hari terakhir petisyen pengampunan dibenarkan kepada pihak Istana Negara.

Sehingga kini, tarikh mendengar petisyen pengampunan itu belum diputuskan oleh Lembaga Pengampunan untuk menasihati Yang Dipertuan Agong.

Dipetik daripada sumber : BNBBC

No comments:

Post a Comment