Thursday, June 04, 2015
Putus Hubungan Dap Tapi Mahu Kekal Dalam Pakatan Cukup Lucu
4 Jun 2015, Kuala Lumpur : Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1,
Datuk Seri Fairuz Khairuddin menyifatkan pendirian Pas yang mahu
memutuskan hubungan dengan Dap namun tetap mahu kekal di dalam Pakatan
Pembangkang memperlihatkan parti tersebut seolah-olah tidak ada
pendirian yang tetap.
Menurut beliau, keputusan tersebut seumpama pepatah gantung tak
bertali di mana ianya tidak jelas bagaimana perhubungan tahaluf siyasi
Pas dalam pakatan pembangkang dapat diteruskan dengan keadaan yang
sebegitu rupa.
“Ini lebih kurang politik luar tabie. Putuskan hubungan dengan Dap,
tetapi masih mahu kekal di dalam pakatan pembangkang. Sepatutnya Pas
membuat keputusan untuk mufarakah daripada pakatan pembangkang. Bukannya
buat satu keputusan yang menggambarkan parti itu seolah-olah tidak ada
pendirian.
“Saya yakin, keputusan Pas itu hanya akan ditertawakan orang ramai,
terutama kepimpinan Dap apabila ingin terus kekal di dalam pakatan
pembangkang, tetapi dalam masa yang sama mahu putuskan hubungan dengan
Dap.
“Pendirian ini sama seperti pendirian Dap yang selama ini menimbulkan
rasa lucu di kalangan rakyat mahupun pemerhati politik di mana mereka
mahu putuskan hubungan dengan Pas, tetapi mahu kekal dalam pakatan,”
tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambah beliau, Pas sudah sedia maklum dengan sikap keras Dap terhadap
sebarang perlaksanaan Islam, begitu juga dengan PKR yang cuba menjadi
juara pemikiran liberal dan pluralisme di negara ini, namun mereka masih
mahu berada di dalam kelompok tersebut.
“Apa kebaikan yang boleh Pas perolehi dari kerjasama itu selama ini
Sebab itu saya berani katakan, keputusan yang dibuat oleh Pas itu pada
pandanganya tidak mempunyai hikmah dan tidak memberikan apa-apa kebaikan
terhadap parti tersebut.
“Sebenarnya Pas tidak ada sebab yang kukuh untuk terus kekal di dalam
pakatan pembangkang, sebaliknya mempunyai beribu sebab yang kukuh untuk
keluar dari pakatan pembangkang. Kalau dah tahu sikap Dap dan PKR yang
tidak menyokong perjuangan Islam, untuk apa mereka terus bersama-sama
mereka.
“Namun saya rasakan ada kemungkinannya keputusan ini lebih
bermotifkan kepentingan politik kepartian yang didorong oleh rasa ingin
berkuasa. Padahal hakikatnya, Pas lebih mendapat sokongan daripada ahli
peringkat akar umbi sekiranya mereka membuat keputusan untuk tidak
bersama pakatan serta meneruskan agenda perjuangan Islam mereka itu
secara bersendirian seperti mana sebelum ini,” ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment